13 pasangan pengantin Orang Asli dirai dalam Majlis Nikah Jama’ie Syar’ie 2019

SUNGAI SIPUT: Seramai 13 pasangan pengantin diraikan dengan penuh meriah dalam Majlis Nikah Jama’ie Syar’ie Orang Asli 2019 bertempat di Kampung Yum, Pos Yum di sini, baru-baru ini. Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan
Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi.

Turut hadir, Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Yusof bin Haji Husin, Pengarah JAIPk dan Encik Harulnizam bin Abd Rahman, Pengara JAKOA Perak.

Majlis dimulakan dengan perarakan masuk kesemua 13 pasangan diiringi ahli keluarga terdekat ke dalam dewan dan disusuli dengan bacaan khutbah nikah oleh Ustaz Tuan Haji Azhar bin Ahmad, Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Kangsar.

Asmuni Awi dalam ucapan perasmian merakamkan tahniah kepada JAKOA dan JAIPk atas penganjuran majlis seperti ini buat kali yang ke empat. Menurutnya majlis seperti ini wajar diteruskan kerana ia dapat menjimatkan perbelanjaan dan dapat memberi ruang kepada orang asli untuk melalui pengalaman raja sehari seperti masyarakat biasa.

“Majlis seperti ini dapat membantu pasangan yang ingin berkahwin dan ingin melalui majlis perkahwinan seperti orang lain. Orang berkahwin ini dipanggil raja sehari, bila disebut ‘raja sehari’ ini bermaksud perbelanjaannya besar. Untuk pastikan masjlis berjalan dengan sempurna, melibatkan kos. Ada yang tidak berkemampuan untuk meraikannya seperti mana orang lain. Kali ini JAIPk dengan kerjasama JAKOA memainkan peranan untuk membolehkan majlis ini berjalan dengan meriah” katanya.

Majlis turut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah dimana pasangan bertuah akan memenangi pakej percutian ke Pulau Pangkor dan persembahan silat daripada Persatuan Seni Silat Universiti Sultan Azlan Shah (USAS). Asmuni Awi turut mengambil kesempatan menghadiahkan RM2 ribu kepada pengannjur dan ianya dijadikan salah satu daripada hadiah cabutan bertuah pada hari berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *