Yayayan Perak bantu bina semula rumah musnah akibat tanah runtuh

LARUT: Yayasan Perak akan membina rumah baharu menggantikan tiga rumah yang musnah akibat tanah runtuh di Kampung Teras, Ijok, Selama dekat sini, Jumaat lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari.

Beliau berkata Pejabat Daerah dan Tanah, Larut, Matang dan Selama telah mengenal pasti dua tapak baru di kawasan berdekatan iaitu di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Kampung Teras atau RPT Redang Panjang untuk  pembinaan semula itu. 

Abdul Yunus berkata pada masa sama penghuni sembilan buah rumah berhampiran dengan lokasi kejadian tanah runtuh telah diminta mengosongkan sementara kediaman masing-masing atas nasihat polis dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk keselamatan.

“Tempoh untuk pengosongan rumah tersebut adalah antara dua hingga tiga minggu sementara menunggu laporan daripada Jabatan Mineral dan Geosains serta dan JKR.

Pada masa sekarang, penghuni-penghuni berkenaan telah menumpang sementara di rumah keluarga,” katanya.

Dalam kejadian 6 petang pada 25 Okt lepas, seorang lelaki warga emas maut akibat tertimbus tanah runtuh yang menghempap rumahnya. 

Runtuhan itu juga menyebabkan Jalan Rantau Panjang-Lata Tebing Tinggi, Ijok turut runtuh dan ditutup kepada pengguna sehingga kini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *