Orang Asli diiktiraf, terima anugerah Maulidur Rasul 1441H Peringkat Negeri Perak

IPOH: Ustaz Arifin Long Chor, 43, yang merupakan orang asli dari Perkampungan Orang Asli Pos Piah, Sungai Siput adalah salah seorang penerima anugerah yang telah diumumkan dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya, disini, hari ini.

Bapa kepada 8 orang anak ini mula mendalami Islam setelah menyertai beberapa aktiviti yang dianjurkan oleh JAIPk di kawasan beliau secara berkala. Seawal usia 30-an, beliau mula mengorak langkah dalam kerja-kerja dakwah dan telah berjaya mengislamkan sekitar 200 buah keluarga orang asli yang lain.

“Awalnya sukar untuk saya hendak dekati mereka yang bukan agama Islam. Terpaksa bersabar dan ambil masa untuk mendekati serta memujuk mereka kepada Islam.

“Cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah menjadi inspirasi buat saya. Alhamdulillah dengan sabar, Islam makin diterima oleh masyarakat di tempat saya,” katanya.

Anugerah telah disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dihadapan hampir 2000 orang muslimin dan muslimat yang hadir dalam majlis berkenaan.

Ustaz Arifin Long Chor (dua dari kiri) menerima anugerah daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

Selain itu, Baginda turut berkenan menyampaikan anugerah kepada penerima yang lain iaitu Penerima Anugerah Siak, Zainal Ibrahim, 74, dari Kampung Relang, Batu Kurau; penerima Anugerah Bilal, Abdul Mutalib Said, 80 dari Kampung Kenayat, Gerik; dan penerima Anugerah Imam, Mohamed Amran Ngah Abdul Ghani dari Ipoh.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Exco Agama dan Pendidikan Islam, Usahawan dan Pembangunan Luar Bandar, Asmuni Awi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *