Sultan Perak seru rakyat elak rasa prasangka dan curiga, hargai kepelbagaian kaum

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini bertitah bahawa rakyat perlulah mengelakkan prasangka dan curiga dalam berdepan dengan kepelbagaian bangsa dan kaum. Untuk mendorong ke arah itu, Baginda juga bertitah bahawa negara memerlukan satu paradigma yang progresif agar bukan sahaja sikap prasangka dan curiga dapat dielakkan, malah rakyat dapat berasa senang dan selesa.

“Negara ketika ini memerlukan paradigma yang progresif, yang membolehkan rakyat berasa senang dan selesa, tidak memiliki prasangka dan curiga, di sebaliknya berminda terbuka menghargai kepelbagaian yang dikurniakan di bumi ini. Kaum, budaya dan bahasa yang pelbagai itu adalah ciptaan ALLAH Subhanahu Wata’ala. Negara Malaysia yang begitu pelbagai rakyatnya, juga ditentukan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala” titah Baginda sempena Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke 63.

Baginda turut bertitah agar pemimpin Islam dan bukan Islam supaya menyelami dan menghayati serta mengamalkan sirah yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW terutama dalam hal pentadbiran yang menepati prinsip keadilan. Menurut baginda, keadilan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW perlu dijadikan panduan untuk memupuk keharmonian dalam negara yang berbilang bangsa, agama dan bahasa.

“Keadilan yang amalkan oleh Rasulullah SAW dinikmati oleh umat Islam dan bukan Islam. Bukan Islam turut dijamin perlindungan keselamatan, dijamin kebebasan beragama, dijamin untuk mengamalkan budaya masing-masing, dijamin hak untuk melakukan pelbagai kegiatan ekonomi dan pembangunan sosial.

“Islam yang Baginda anjurkan, berjaya meletakkan Islam sebagai agama yang dihormati dan agama yang mahu didampingi, bukan agama yang ditakuti dan agama yang mahu dijauhi,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Nazrin menyempurnakan upacara pemeriksaan kawalan kehormatan daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen di pekarangan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini.

Majlis yang berlangsung di Balairung Seri, dimulai dengan Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia oleh Raja Jaafar bagi mewakili pihak Raja-raja dan Orang Besar Perak Darul Ridzuan. Turut menghadap menyembahkan ucapan ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi mewakili kerajaan dan rakyat jelata.

Turut berkenan berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah; Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah dan raja-raja bergelar yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *