Lebih RM502 ribu diperuntukkan, 42 usahawan terima bantuan Yayasan Perak

IPOH: Seramai 42 orang usahawan seluruh Perak mendapat manfaat Pinjaman Tabung Usahawan Yayasan Perak hari ini apabila sejumlah RM502 ribu diagihkan kepada mereka dalam satu majlis berlangsung di Dewan Pembangunan Usahawan, Pusat Pembangunan Usahawan(PPU), Bandar Meru Raya di sini. Cek yang hingga mencecah RM100 ribu seorang itu diserahkan oleh Pengerusi Yayasan Perak, Dato’ Asmuni Awi sendiri selepas beliau merasmikan program berkenaan.

Dalam ucapan perasmian, Dato’ Asmuni Awi berpesan agar pinjaman yang diberikan ini dimanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha memajukan perusahaan masing-masing.

“Bila dah dapat (duit) ni, saya sarankan guna betul-betul. Pastikan perniagaan tuan-puan mampu meningkatkan keuntungan dan dapat dibesarkan. Itulah hasrat sebenar kami pihak kerajaan. ” katanya.

Pada masa yang sama, beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Usahawan dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Perak, turut mengingatkan kepada semua peminjam agar memastikan bayaran dibuat seperti yang telah termaktub dalam kontrak pinjaman. Antara yang menerima cek ialah mereka yang melibatkan diri dalam bidang perniagaan seperti andaman, katering, bengkel kenderaan dan penternakan ikan.

Salah seorang penerima, Encik Muhammad Sahril bin Mustafa menyatakan kesyukurannya dan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah seperti yang diberikan melalui Tabung Pinjaman Usahawan Yayasan Perak ini.

“Syukur kepada Tuhan dan terima kasih kepada Yayasan Perak kerana banyak membantu usahawan terutama usahawan muda seperti saya dalam usaha kami nak memajukan perniagaan kami”, katanya. Beliau yang melibatan diri dalam perusahaan bot pelancong itu juga berharap agar program seperti ini diteruskan oleh pihak kerajaan pada masa-masa yang akan datang agar lebih banyak usahawan mendapat manfaat daripadanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Encik Mohammad Yusof bin Abustan, Pengurus Besar Yayasan Perak; Encik Salman bin Salleh dan Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali selaku Anggota Yayasan Perak.

Majlis yang dianjurkan buat kali kedua ini berakhir dengan sesi bergambar antara Dato’ Asmuni Awi dan dif kehormat bersama kesemua usahawan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *