Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

IPOH: Kerajaan Negeri akan membangunkan Projek Pembangunan Koridor Persaraan berikutan bilangan populasi warga emas di negeri ini yang semakin meningkat selain bagi memastikan penjagaan diri dan kesihatan warga itu terjamin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Wong May Ing berkata, projek berkenaan akan dibangunkan di tanah seluas 315.6 hektar (780 ekar) di Ulu Slim, Slim River dalam masa terdekat.

“Projek Pembangunan Koridor Persaraan ini akan dikendalikan Maju Perak Holdings Bhd dan dijangka melibatkan pelaburan tempatan dan asing,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Wong (PH-Pantai Remis) berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Jenny Choy Tsi Jen (PH-Canning) yang ingin tahu lebih lanjut berkenaan projek yang bakal dilaksanakan itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebagai permulaan, Kerajaan Negeri akan menyediakan tanah seluas 114.9 hektar (284 ekar) pada fasa pertama untuk membangunkan projek itu yang menyasarkan pesakit luar dan warga emas yang berminat bersara di Perak.

Jumlah pelaburan pada fasa pertama dijangkakan RM2 bilion namun kaedah pelaksanaan projek itu masih dalam perancangan dan akan diperhalusi dalam masa terdekat dengan kerjasama pihak-pihak berkenaan.

Statistik menunjukkan jumlah warga emas yang berusia 60 tahun ke atas di negeri Perak meningkat kepada 372,600 pada tahun lepas berbanding 337, 300 orang pada 2015, katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri menyediakan Akaun Amanah Tabung Bencana Negeri Perak bagi tujuan pembayaran wang ehsan untuk membantu mangsa bencana dengan kadar segera.

Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut menyumbangkan RM170,000 ke dalam akaun tersebut bermula tahun 2018, selain sumbangan yang diterima daripada badan berkanun, syarikat swasta, badan bukan kerajaan dan individu, katanya menjawab soalan Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (PH-Sungai Manik).

Katanya, bagi memastikan kerja pembaikan pasca bencana dan darurat dilaksanakan segera demi menjaga kepentingan awam dan kerajaan, maka peruntukan kecemasan Pegawai Daerah (P02) sebanyak RM200,000 untuk setiap daerah boleh digunakan.

“Selain itu, peruntukan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Yang Berhormat EXCO juga boleh dipertimbangkan. Kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan kajian semula berkenaan mekanisme dan peruntukan bagi maksud pemberian ketika bencana; berdasarkan penanda aras negeri-negeri lain,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata bagi mendapatkan tuntutan wang ehsan Tabung Bencana negeri, laporan polis lengkap yang berkaitan kemalangan atau bencana, termasuk jumlah kerugian perlu dibuat di balai polis berhampiran.

“Laporan polis ini perlu dikemukakan bersama salinan kad pengenalan mangsa untuk semakan, perakuan dan kelulusan Pejabat Daerah. Bagi permohonan yang tiada masalah tuntutan, bantuan wang ehsan boleh disalurkan dalam tujuh hari selepas semua dokumen lengkap diterima pejabat,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )