Kerajaan Perak peruntuk RM290.5 juta kos pembangunan infra

Kerajaan Perak peruntuk RM290.5 juta kos pembangunan infra

IPOH: Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM290.5 juta bagi kos pembangunan infrastruktur dan operasi jabatan.

Menter Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, RM73.8 juta disediakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menampung perbelanjaan operasi dan mengurus.

Perbelanjaan ini katanya meliputi kos pengurusan tiga cawangan baru JKR di Daerah Kampar, Muallim dan Bagan Datuk. Dengan ini, secara rasminya pejabat JKR berada di setiap Daerah.

“RM80.0 juta diperuntukkan bagi tujuan pembangunan yang dilaksanakan oleh JKR meliputi pembinaan jalan dan jambatan baru, memperelok jalan serta jambatan sedia ada, rawatan kawasan kemalangan dan pencahayaan serta bangunan dan institusi Negeri, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Perak 2020 di Dewan Negeri, disini Jumaat lalu.

Beliau berkata, beberapa pembinaan jalan dan jambatan baru serta kerja menaik taraf jalan sedia ada yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan adalah:

1) Pembinaan jalan dari Tanjung Rambutan ke laluan Persekutuan 1 dengan kos RM5.0 juta;

2) Pembinaan jalan alternatif Ayer Tawar RM5.0 juta;

3) Pembinaan jambatan baru dari Kampung Bahagia ke Bandar Teluk Intan RM5.0 juta;

4) Pelaksanaan kerja menaik taraf jalan Kuala Kangsar / Manong (A3) Daerah Kuala Kangsar (Pakej 2) RM5.0 juta; dan

5) Pelaksanaan kerja memperelok Jalan Taiping / Selama (A7), Daerah Larut, Matang dan Selama (Fasa 2B) RM5.0 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan persekutuan akan terus memberi agihan peruntukan di bawah Projek Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri Di Bawah Peruntukan Malaysian Road Record Information System (MARRIS) meliputi penyelenggaraan jalan negeri, jalan bandaran, jalan kampung, jalan pertanian, jalan di kawasan perumahan dan jalan di pulau pelancongan.

“Bagi tujuan tersebut, dianggarkan RM550.00 juta akan diterima daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun hadapan.

“Daripada jumlah tersebut juga, Kerajaan Negeri Perak dibenarkan untuk membelanjakan RM15.0 juta bagi tujuan menaiktaraf jalan, jambatan, parit dan longkang,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )