Kerajaan Perak sedia akaun tabung bencana bantu mangsa bencana alam

Kerajaan Perak sedia akaun tabung bencana bantu mangsa bencana alam

IPOH: Kerajaan Negeri Perak telah menyediakan Akaun Amanah Tabung Bencana Negeri Perak yang boleh digunakan bagi pembayaran wang ehsan kepada mangsa bencana alam bagi membolehkan mangsa bencana mendapatkan keperluan penting yang terjejas akibat bencana dengan kadar yang segera.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tabung tersebut juga boleh digunakan bagi maksud perbelanjaan untuk perkara-perkara lain yang berkaitan bencana alam.

“Bagi maksud bencana Monsun Timur Laut pula, Akaun ini boleh digunakan bagi tujuan perbelanjaan menyelamat mangsa serta keurusetiaan dan perbelanjaan di pusat pemindahan sementara.

“Tabung ini diwujudkan di bawah Seksyen 9, Akta Tatacara Kewangan 1957, yang mana ia boleh dicarum atau disumbangkan daripada sumbangan Kerajaan Negeri/Persekutuan, Badan Berkanun, syarikat swasta, NGO mahupun individu perseorangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin ketika sesi soalan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Jelas beliau, pihak Kerajaan Persekutuan, melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga turut menyumbangkan sebanyak RM170 Ribu Ringgit ke dalam tabung ini mulai tahun 2018, selain beberapa sumbangan yang turut diterima daripada individu.

Bagi kerja-kerja projek pembaikian pasca bencana dan darurat yang perlu dilaksanakan segera demi menjaga kepentingan awam dan Kerajaan, kata beliau peruntukan Kecemasan Pegawai Daerah (P02) sebanyak RM 200 Ribu Ringgit untuk setiap daerah boleh digunakan.

Walau bagaimanapun, jelasnya kerajaan negeri sedang mempertimbangkan kajian semula berkenaan mekanisma dan peruntukan bagi maksud pemberian ketika bencana berdasarkan benchmarking kepada negeri-negeri lain.

“Bagi tuntutan wang ehsan Tabung Bencana Negeri, laporan polis lengkap berkaitan kemalangan/bencana, termasuk jumlah kerugian perlu dibuat di balai polis berhampiran.

“Laporan polis ini perlu dikemukakan bersama salinan kad pengenalan mangsa untuk semakan, perakuan dan kelulusan Pejabat Daerah.

“Bagi permohonan yang tiada masalah tuntutan, bantuan wang ehsan boleh disalurkan dalam 7 hari selepas semua dokumen lengkap diterima pejabat.

Jelasnya, di dalam keadaan bencana yang kritikal, perbelanjaan dan perolehan secara darurat boleh dilaksanakan oleh urusetia bencana daerah/negeri bagi mengelakkan bencana menjadi lebih mudarat dan merosakkan lebih harta benda.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )