Perak komited bina infrastruktur pintu masuk Hulu Perak – Yala

IPOH: Kerajaan Negeri Perak komited dalam membangunankan kawasan Pengkalan Hulu untuk dijadikan sebagai bandar transit antara Hulu Perak dan Wilayah Yala.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, pelbagai perancangan telah dilakukan untuk pembangunan infrastruktur di pintu masuk antara Malaysia dan Thailand di Pengkalan Hulu.

“Kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dalam merancangkan pembangunan infrastruktur di pintu masuk sempadan Thailand secara khusus.

“Perkara ini bukan sahaja melibatkan perancangan kerajaan negeri tetapi ianya merupakan salah satu pintu masuk Thailand dan Malaysia di mana kawasan Hulu Perak akan menerima limpahan ekonomi apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Betong Thailand bakal beroperasi pada jangkaan pertengahan tahun 2020.

“Pelan pembangunan bagi menaiktarafkan kawasan sempadan dari segi kemudahan infrastruktur, pencahayaan, lanskap, ruang perniangaan, pusat informasi, papan tanda, dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Aznel Ibrahim (BN-Pengkalan Hulu) dalam sesi soal jawab lisan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Terdahulu, Kabinet Thailand telah meluluskan pembiayaan sebanyak 1.9 bilion baht (RM1=8.32 baht) untuk pembinaan lapangan terbang Betong di Yala, wilayah selatan bersempadan dengan Malaysia.

Lapangan Terbang Betong akan mempunyai landasan sepanjang 1.8 kilometer, apron dan terminal lapangan terbang dan 20,587 penumpang dijangka melaluinya setiap tahun selepas mula beroperasi pada 2017.

Adun Simpang Pulai itu berkata, sejak awal tahun 2019, kerajaan negeri telah membentangkan kertas kerja kepada pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, dan pembentangan kali kedua telah dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan pada bulan October 2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *