Pusat Tahfiz tidak berdaftar dinasihat dan dibimbing, tidak akan diambil tindakan

IPOH: Kerajaan negeri Perak akan terus memberi bimbingan dan nasihat kepada mana-mana pengusaha pusat tahfiz yang belum mendaftar sehinggalah pusat tahfiz berkenaan berjaya memenuhi kriteria keselamatan dan ciri-ciri seperti yang ditetapkan oleh peraturan. Kenyataan ini dikeluarkan oleh Dato’ Asmuni Awi (Manjoi-PH) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan semasa menjawab soalan tambahan pertama yang diajukan oleh Sandrea Ng (Teja-PH) yang bertanyakan soalan berkaitan isu keselamatan di pusat tahfiz.

Ketika menjawab soalan berkenaan, Dato’ Asmuni Awi menyatakan tempoh masa akan diberikan sehingga Jun tahun 2020 sebelum penilaian semula akan dibuat.

“Pihak kerajaan buat sementara waktu tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pengusaha-pengusaha pusat tahfiz yang gagal mematuhi aspek keselamatan, tapi kita akan terus beri tunjuk ajar dan nasihat agar mereka complie dengan ciri-ciri keselamatan seperti yang ditetapkan oleh peraturan. Moratorium ini akan diberikan sehingga Jun tahun hadapan, selepas itu penilaian berikutnya akan dilakukan sama ada tindakan undang-undang akan diambil atau pun sebaliknya” kata Dato’ Asmuni Awi.

Ketika menjawab soalan yang sama, beliau turut menyatakan bahawa satu Town Hall Talk telah pun dianjurkan bersama kesemua pengusaha pusat tahfiz seluruh negeri Perak pada 17 September 2019 yang lalu dan resolusinya antara lain kesemua pengusaha menunjukkan sensitiviti yang tinggi terhadap isu keselamatan dan isu pendaftaran pusat tahfiz masing-masing.

Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua, Dewan Undangan Negeri(DUN), Perak Darul Ridzuan ke 14 yang bermula pada 15 November yang lepas turut membabitkan pembentangan Belanjawan 2020 Negeri Perak yang dibentangkan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu. Mesyuarat kali ini berlangsung selama 6 hari dan akan berakhir pada Jumaat, 22 November 2019 ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *