Politik di masjid: Peringatan agar titah Sultan terus dipatuhi

IPOH: Dato’ Asmuni Awi (Manjoi-PH) hari ini mengulangi peringatan agar rakyat taat dan akur dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar tidak menjadikan masjid dan surau sebagai medan untuk berpolitik sebaliknya mahukan masjid dan surau kembali kepada fungsinya yang asal.

“JAIPk ingin menasihati seluruh masyarakat Islam di negeri Perak supaya akur dan menghormati titah DYMM Sultan agar tidak menjadikan Institusi masjid dan surau sebagai medan untuk berpolitik tetapi sebaliknya menjadikannya sebagai pusat ilmu, tempat melakukan ibadat dan menyatupadukan masyarakat” kata Dato’ Asmuni Awi.

Beliau yang juga merupakan Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan menyatakan sedemikian sebagai menjawab soalan yang diajukan oleh ADUN Selama yang bertanyakan tentang isu berpolitik di masjid pada hari ketiga persidangan semasa sesi soal jawab lisan berlangsung.

“DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah secara tegas bertitah agar masjid dan surau di negeri ini tidak disalahgunakan oleh parti-parti tertentu untuk tujuan politik dengan mengadakan program serta menggantung sepanduk tertera logo politik” katanya.

Namun begitu, Dato’ Asmuni Awi menyatakan bahawa setakat ini tiada kes yang dirujuk ke mahkamah direkodkan berkenaan penyalahgunaan masjid atau surau yang berkaitan dengan tujuan politik kepartian.

Hanya tindakan penggantungan sahaja ada diambil ke atas pegawai masjid atau surau yang terlibat terhadap sebarang program berunsur politik yang dianjurkan di masjid atau surau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *