Perak buat SOP tiada lagi logo parti pada replika cek

IPOH: Kerajaan Negeri Perak akan mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) dalam penyediaan replika cek sebarang sumbangan dan bantuan daripada kerajaan kepada mana-mana pihak.

Exco Pendidikan, Sains,Teknologi dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari berkata, SOP itu bagi memastikan tiada lambang parti disertakan terutama bagi majlis penyerahan di sekolah-sekolah.

Ia susulan teguran dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkaitan berlakunya penyampaian cek bantuan kepada sebuah sekolah yang mempunyai logo kementerian dan parti.

Wakil rakyat pembangkang itu menyifatkan, tindakan sedemikian tidak selari dengan pendirian kerajaan untuk tidak membenarkan unsur politik dibawa ke sekolah apatah lagi sumbangan disampaikan melibatkan dana awam.

Abdul Aziz berkata, pihaknya mengakui berlaku kekeliruan berhubung perkara tersebut namun memberitahu cek sebenar adalah mengikut format ditetapkan.

“Mengenai cek ini, saya akur akan perkara itu, ia sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan kerana membabitkan cek-cek kerajaan daripada dana awam.

“Kita berjanji akan buat satu SOP untuk menanganinya,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Abdul Aziz berkata, perkara itu tidak perlu diperbesar kerana kebiasaan sama pernah dilakukan ketika BN menjadi kerajaan.

“Jika ada yang ketawa, BN dah lama buat benda ini…’satu lagi projek BN’ dulu BN boleh buat begitu… jadi apa yang nak diperlekehkan kami sekarang ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *