Dato’ Asmuni kekal terajui AMANAH Perak

IPOH: Exco Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Asmuni Awi kekal sebagai Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak bagi penggal 2019 hingga 2022 dalam pemilihan pada Konvensyen Tahunan Kali Ke-4 AMANAH Perak yang berlangsung di Hotel Impiana, Ipoh semalam.

ADUN Sungai Rapat, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin juga kekal sebagai timbalan pengerusi parti berkenaan.

Keputusan pemilihan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan AMANAH Nasional, Dr Zulqarnain Lukman.

Selain itu, bagi jawatan Naib Pengerusi masing-masing kekal disandang oleh Dr Muhaimin Sulam dan Dr Fakhruldin Mohd Hashim.

Pemilihan kali ini juga turut menampilkan empat muka baharu yang tersenarai dalam Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Perak iaitu Ketua Kawasan Larut, Mohd Nazri Din; Timbalan Ketua Kawasan Larut, Razali Ismail; Ketua Kawasan Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi Ramli dan Ahli Jawatankuasa Kawasan Ipoh Timor, Halilah Hamidun.

Barisan Ahli Jawatankuasa AMANAH Perak yang dipilih oleh perwakilan semalam.

Bagaimanapun, dua wakil rakyat iaitu ADUN Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor dan ADUN Behrang yang juga Timbalan Speaker DUN Perak, Aminuddin Zulkipli kecundang apabila masing-masing mendapat 79 dan 76 undi.

Seramai 184 perwakilan daripada 22 kawasan AMANAH hadir ke konvensyen berkenaan di mana proses pengundian bermula petang dan berakhir lewat tengah malam tadi.

Konvensyen itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden AMANAH yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Seramai 45 orang calon bertanding bagi mengisi 17 jawatan yang dipertandingkan dalam Jawatankuasa Kepimpinan AMANAH Perak.

Ke semua ahli jawatankuasa pimpinan bersama ketua AMANAH kawasan dan ketua sayap parti berkenaan telah memilih empat jawatan tertinggi tertsebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *