MB kesal tuduhan Adun pembangkang, lima syarikat GBS lalui proses kelulusan ketat

IPOH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, lima syarikat peneraju Perniagaan Perkhidmatan Global (GBS) yang terlibat dalam pelaburan RM486 juta di Perak melalui proses kelulusan yang ketat oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Dalam satu kenyataan, Ahmad Faizal berkata permohonan pelaburan di negeri ini juga tertakluk kepada kajian oleh agensi-agensi berkaitan dari kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan.

“Dalam input kepada Pejabat Menteri Besar hari ini, NCIA juga memaklumkan bahawa “Permohonan untuk pelaburan akan dikaji bersama oleh Unit Pembangunan Ekonomi Negeri dan Agensi Persekutuan (MIDA, MITI, MOF, MEA, IRB) dan usaha wajar (due diligence) yang setimpal dan dikemukakan kepada Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pelaburan (NCI).”

“Justeru, dakwaan pihak pembangkang yang mempertikaikan kredibiliti syarikat-syarikat tersebut dalam merealisasikan pelaburan yang bakal mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan pada sesi Sidang Dewan Undangan Negeri Perak baru-baru ini, sama sekali tidak berasas.
Iklan

“Kerajaan Negeri amat kesal dengan tindakan Adun-Adun pembangkang kerana ia boleh menimbulkan keresahan di kalangan para pelabur.

“Dalam masa yang sama, tindakan mereka boleh menyebabkan bakal-bakal pelabur hilang minat, sekali gus menjejaskan usaha mewujudkan peluang- peluang pekerjaan kepada para graduan dan anak-anak Perak,” katanya.

Kenyataan Ahmad Faizal itu susulan klip video yang tular memaparkan Adun Umno, Salbiah Mohamed (Temengor) membangkitkan isu pelaburan RM486 juta itu pada persidangan DUN baru-baru ini.

Menurut laporan Sinar Harian, syarikat-syarikat tersebut ialah Puncak Tegap Sdn Bhd, Volgo Sdn Bhd, Revoluteq Sdn Bhd, TecCSA Sdn Bhd dan DigitalQ Solutions Sdn Bhd.

Salbiah mempersoalkan bagaimana syarikat-syarikat berkenaan yang didakwanya ditubuhkan pada awal tahun ini dengan modal berbayar RM1 dan RM99 boleh terlibat dengan pelaburan bernilai jutaan ringgit.

Ahmad Faizal berkata inisiatif GBS@Ipoh adalah sebagai pemangkin pertumbuhan baru di Perak dan penyertaan syarikat-syarikat ini dipacu oleh pihak swasta dan berdasarkan daya maju komersial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *