Pelaburan negeri Perak meningkat di bawah PH

IPOH: Kerajaan Negeri Perak sentiasa meneroka ruang baru untuk menggalakkan pelaburan sekaligus meningkatkan peluang kepada industri hiliran dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat jelata.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jumlah pelaburan enam bulan pertama tahun 2019 yang diluluskan adalah sebanyak RM1.72 bilion.

Katanya, daripada jumlah tersebut, RM772 juta adalah pelaburan domestik manakala RM951 juta pelaburan asing.

Jelas beliau, negeri Perak telah memasuki dimensi baru dalam sektor perkhidmatan dengan pelaburan berjumlah RM486 juta oleh lima pemain utama Global Business Services (GBS) yang sekaligus mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan baru, termasuk pekerjaan berpendapatan tinggi.

Usaha katanya akan diteruskan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara untuk terus mempromosikan Bandaraya Ipoh sebagai pusat pertumbuhan baru GBS untuk wilayah utara.

“Alhamdulillah, kadar pengangguran telah menurun kepada 3.3%, tetapi kita akui usaha lebih agresif perlu digerakkan bagi menarik pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Negeri Perak.

“Ini juga bagi mengurangkan aliran keluar modal insan ke negerinegeri lain,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Perak 2020 baru-baru ini.

Ahmad Faizal berkata, pencapaian pelaburan yang dicatatkan ini menunjukkan keyakinan para pelabur sedia ada untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Justeru, kerajaan negeri katanya komited dengan agenda mewujudkan suasana mesra pelabur bagi menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.

” Kerajaan negeri sedang giat memperkemaskan kajian semula Perak Industrial Development Action Plan (PIDAP 2.0) yang akan menjadi rujukan dalam memacu halatuju pelaburan dan pembangunan sektor perindustrian di Negeri Perak untuk tempoh 10 tahun yang akan datang (2021 sehingga 2030).

“PIDAP 2.0 ini bakal menyediakan kerangka utama yang akan membantu Kerajaan Negeri untuk merancang strategi dan inisiatif baru bagi menarik pelabur.

“Disamping itu, pelan ini juga akan mengenalpasti bentuk-bentuk pelaburan yang memberi kelebihan kepada negeri Perak,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *