Kedatangan pelancong antarabangsa ke negeri Perak meningkat

IPOH: Fokus Kerajaan Negeri Perak untuk menjadikan pelancongan sebagai salah satu pemacu sektor perkhidmatan mencatatkan perkembangan yang positif.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, data Jabatan Perangkaan Malaysia dan Tourism Malaysia menunjukkan peningkatan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa.

“Jumlah ketibaan pelancong luar Negara meningkat hampir 9% pada tahun 2018 iaitu seramai 291,253 orang.

“Jumlah ini dijangka meningkat dengan bermulanya penerbangan Kuala Lumpur-Ipoh-Guang Zhou,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Perak 2020 di DUN Perak baru-baru ini.

Mengambil manfaat daripada Tahun Melawat Malaysia 2020, Kerajaan negeri katanya akan memperuntukkan RM16.4 juta bagi merancakkan lagi sektor pelancongan Perak.

1. RM7.2 juta untuk aktiviti promosi, penganjuran acara, projek pembangunan dan kos pengurusan Tourism Perak

2. RM2.0 juta Pelancongan Sukan

3. RM3.5 juta untuk pembangunan dan pengurusan Perbadanan Taman Negeri Perak

4. RM0.8 juta untuk pembangunan Kawasan Geopark

5. RM1.0 juta untuk Pengurusan Bukit Larut

6. RM1.3 juta diperuntukkan bagi aktiviti People of Remarkable Talent (PORT)

7. RM0.6 juta bagi aktiviti Majlis Kebudayaan Negeri.

Selain itu, katanya, seiring dengan perkembangan ekonomi digital dalam sektor pelancongan, tumpuan diberikan kepada penggunaan aplikasi digital seperti aplikasi pelancongan, peta dan e-wallet.

“Kempen promosi menerusi saluran media sosial akan dilebarkan kepada platform Weibo dan Wechat untuk menarik pelancong dari Chinadan sebagainya,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *