Sektor pertanian: Kerajaan Perak peruntuk RM52.9 juta untuk tahun 2020

IPOH: Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan RM52.9 juta kepada sektor pertanian untuk tahun 2020.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bagi Jabatan Pertanian, RM29.5 juta merangkumi perbelanjaan mengurus RM24.5 juta dan perbelanjaan pembangunan RM5.0 juta.

Katanya, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada aktiviti pertanian sepanjang jajaran Sungai Perak seperti berikut iaitu Insentif Pembangunan Tanaman Padi sebanyak RM0.8 juta, Insentif Pembangunan Tanaman Kelapa dan Komoditi Berpotensi sebanyak RM0.5 juta dan Program Pembangunan Industri Tanaman Makanan sebanyak RM0.5 juta.

“Bagi menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah supaya Kerajaan Negeri menekankan aspek food security negara, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) akan membuka Perak Agro Valley di Bukit Sapi, Mukim Lenggong seluas 4,901 ekar.

“Pembangunan projek ini juga adalah seiring dengan penekanan dan pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara dalam mempertahankan kedaulatan makanan sebagai asas kekuatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Perak 2020 di Persidangan DUN Perak baru-baru ini.

Jelasnya, Perak Agro Valley yang berkonsepkan Pertanian Integrasi melibatkan tanaman kontan, sayur-sayuran, dusun buah-buahan dan penternakan kambing, lembu serta rusa mampu menarik pelaburan RM1.4 bilion.

Projek ini katanya akan melahirkan agropreneur di kalangan anak muda dan akan dimulakan dengan 200 peserta tempatan dari kumpulan B40.

“Selain itu, RM21.3 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Daripada jumlah itu, RM16.3 juta bagi tujuan operasi dan pengurusan serta RM5.0 juta diperuntukkan bagi tujuan pembangunan,” jelasnya.

Katanya, antara program yang telah dirancang adalah Pembangunan Industri Ternakan di Daerah Perak Tengah, ia dijangka memberi manfaat kepada 355 orang penternak tempatan dan isi rumah dari golongan belia, B40 dan penduduk luar bandar.

Kerajaan Negeri juga kata Ahmad Faizal turut memperuntukkan RM2.1 juta kepada Jabatan Perikanan di mana RM1.15 juta dikhususkan untuk menaik taraf Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Segari yang akan memberi keselesaan kepada hampir 20 ribu pengunjung setahun.

Selain itu, RM0.6 juta akan dibelanjakan untuk membina tiga buah jeti nelayan di daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Hilir Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *