Kerajaan Perak sumbang RM50 ribu kepada Tassawur Islam bantu bina asrama anak yatim

BAGAN SERAI: Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengumumkan sumbangan sebanyak RM50 ribu kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Tassawur Islam Perak.

Beliau mengumumkan sumbangan tersebut ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Kerja Pembinaan Asrama Anak Yatim Tassawur Islam, hari ini.

Sumbangan tersebut bagi menampung kos pembinaan asrama anak yatim pertubuhan tersebut yang terletak di Simpang Empat, Semanggol.

Asrama anak yatim itu telah diasaskan oleh Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak Tahun 2018, Datuk Seri Ahmad Awang.

Hasnul berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil perhatian terhadap usaha murni yang dibuat oleh semua pihak dalam membantu serta memperjuangkan nasib golongan yang memerlukan terutama anak-anak yatim.

Menurutnya, beliau secara peribadi sangat menyokong usaha pertubuhan ini, lebih-lebih lagi ia diasaskan serta didokong oleh tokoh yang beliau sangat hormati.

Hasul memotong reben sebagai gimik Majlis Pelancaran Kerja Pembinaan Asrama Anak Yatim Tassawur Islam.

“Saya mengenali Ustaz Ahmad Awang secara peribadi, beliau adalah seorang tokoh yang sangat dihormati dan mempunyai jasa yang sangat besar kepada negara ini.

“Beliau merupakan seorang tokoh agamawan yang kontemporari dan komited biarpun berdepan pelbagai cabaran dan dugaan oleh kerana pandangan serta pemikiran politiknya.

“Sumbangan ini bagi pihak porfolio saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak, InshaAllah saya akan panjangkan usaha ini ke pengetahuan Menteri Besar agar usaha pertubuhan ini dapat terus disokong dan didokong,” katanya di dalam majlis perasmian tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *