Tarif air Perak tidak naik

Tarif air Perak tidak naik

IPOH: Kerajaan negeri Perak memutuskan untuk tidak menaikkan tarif air domestik kerana masih mampu menanggung subsidi penggunaan air oleh rakyat, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata bagaimanapun, jika ada keperluan untuk menaikkan tarif air, ia hanya untuk pengguna komersial dan perusahaan dengan kadar dikenakan adalah pada tahap minimum.

Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan secara bersama dengan Lembaga Air Perak (LAP).

“Memang benar Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sudah menghubungi semua negeri dan Perak telah berbincang mengenai keperluan untuk menaikkan tarif air dan sudah melakukan kajian ini sejak tahun lalu.

“Tetapi kita sentiasa akan memikirkan tentang kebajikan dan kepentingan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Ahmad Faizal diminta mengulas kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr A. Xavier Jayakumar semalam yang menyatakan semua negeri secara dasarnya bersetuju melaksanakan pelarasan kadar tarif air yang dijangka tahun hadapan.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata LAP telah mencatatkan keuntungan setiap tahun dan ia adalah prestasi yang amat membanggakan serta perlu memeliharanya.

Berdasarkan semakan di laman sesawang LAP, kadar tarif maksimum bagi penggunaan melebihi 20 meter padu untuk pengguna domestik/kerajaan adalah RM1.03 satu meter padu, manakala bagi kategori perniagaan/industri, kadar tarif maksimum adalah RM1.61 untuk penggunaan melebihi 20 meter padu.

Bagi rumah ibadat/kebajikan kadar maksimum 34 sen dikenakan untuk penggunaan melebihi 20 meter padu manakala kategori khas pukal kadar maksimum adalah 69 sen bagi penggunaan melebih 20 meter padu.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )