Penerima Sumbangan ‘Back To School’ Perak meningkat kepada 15 ribu penerima

Penerima Sumbangan ‘Back To School’ Perak meningkat kepada 15 ribu penerima

IPOH: Kerajaan Negeri Perak menerusi Yayasan Perak meneruskan Program Sumbangan Back to School (BTS) bagi tahun 2019 dengan bilangan penerimanya juga turut bertambah kepada 15 ribu berbanding 10 ribu orang penerima pada tahun 2018.

Exco Kerajaan Negeri Perak merangkap Pengerusi Yayasan Perak, Dato’ Asmuni Awi berkata sumbangan berupa bag sekolah, kasut, pakaian seragam dan alat tulis ini mencecah RM2.25 juta dan akan diagihkan kepada semua DUN seluruh Perak dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Berkaitan jumlah ini, beliau yang juga ADUN Manjoi menyatakan kemungkinan ianya akan ditambah lagi pada tahun-tahun akan datang.

“Kita maklum jumlah itu tidak mencukupi. Namun (ia diagihkan) sebagai tanda prihatin kerajaan negeri berdasarkan peruntukan yang ada. Insyaallah pada tahun hadapan jika ada pertambahan peruntukan, kita akan meningkatkan jumlah penerima,” katanya.


Dato’ Asmuni berkata sedemikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Sumbangan Back to School dan Biasiswa Menteri Besar Perak bertempat di SMK Dato’ Ahmad Said 2 hari ini, di sini. Proses agihan Program BTS ini akan berlangsung secara berkala bermula hari ini sehingga 21 Disember 2019.

Majlis anjuran Pusat Khidmat DUN Manjoi ini melibatkan 224 daripada keseluruhan 1200 penerima Sumbangan BTS DUN Manjoi dan 20 penerima Biasiswa Menteri Besar. Setiap penerima biasiswa menerima replika cek berjumlah RM840 setiap seorang.


“Program ini berjalan secara berperingkat, bermula dengan DUN Manjoi dan akan berakhir pada 21 haribulan nanti.” katanya.

“Kita tak kira pandai atau tidak pandai. Kita bagi kepada yang memerlukan. Sebab, kadang-kadang anak-anak kita ini tidak menonjol dari segi akademik disebabkan faktor ekonomi dan latar belakang keluarga. Maka kita tak boleh jadikan pencapaian akaddemik sebagai ukuran” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Salman Salleh, Anggota Yayasan Perak dan Pengurus Besar Yayasan Perak, Mohammad Yusoff Bin Abustan.

CATEGORIES

COMMENTS