Perak tubuh pusat TVET pertama di Bidor

Perak tubuh pusat TVET pertama di Bidor

IPOH: Kerajaan Negeri Perak akan menubuhkan pusat latihan kemahiran vokasional (TVET) pertama di Bidor khusus untuk anak muda di kawasan selatan negeri itu.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, pusat latihan yang dijangka beroperasi pada Mac atau April tahun depan itu akan membabitkan pengambilan pelatih di lima kawasan Parlimen iaitu Tanjung Malim, Bagan Datuk, Teluk Intan, Tapah dan Kampar.

Menurutnya, dengan 13 pilihan kursus disediakan, pelatih-pelatih ini akan diambil daripada lepasan sekolah di lima kawasan Parlimen tersebut dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pihak sekolah melalui cadangan kaunselor.

“Kita sudah ada kilang-kilang yang sanggup mengambil pelatih ini untuk bekerja dengan mereka malah turut memberi aku janji untuk hantar balik pekerja-pekerja yang rajin untuk reskiling dan upskiling.

“Dengan kemahiran ini, seorang pelatih berumur 19 tahun boleh dapat gaji tak kurang RM1,300 hingga RM1,500 selepas mengikuti kursus selama enam bulan. Kursus yang ditawarkan di pusat TVET ini adalah kursus yang ada peluang pekerjaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, setiap sesi pengambilan, seramai 150 akan dipilih melalui temuduga yang diadakan oleh pusat TVET tersebut sebelum menjalani latihan selama enam bulan.

Menurut Sivanesan, penubuhan pusat TVET itu mendapat sokongan penuh dan dibiayai oleh kerajaan negeri bagi memastikan anak muda tidak berhijrah keluar Perak mencari pekerjaan.

Beliau berkata, sekiranya pelatih ingin meneruskan pengajian di peringkat Diploma, mereka boleh menyambungnya ke Institut Latihan Perindustrian (ILP).

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )