Kerajaan Perak anjur Road To Export, persiap usahawan ke luar negara

Kerajaan Perak anjur Road To Export, persiap usahawan ke luar negara

IPOH: Kerajaan negeri Perak melalui Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak (SUPER) komited memastikan para usahawan ni negeri ini dipersiapkan dengan ilmu dan pengetahuan agar mereka mampu membawa produk masing-masing ke persada antarabangsa. SUPER yang ditubuhkan pada Jun 2019 telah menganjurkan beberapa program secara kolaborasi antara agensi keusahawanan negeri dan persekutuan merangkumi karnival keusahawanan, latihan, seminar dan bengkel.

SUPER juga terus mengorak langkah dengan menyediakan perancangan ke arah mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik, kondusif dan inklusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi negara amnya dan negeri khususnya dengan penganjuran program Road To Export (RTeX) 2019 yang julung kali diadakan baru-baru ini, di sini.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Asmuni Awi bertempat di Hotel Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya.

Ketika berucap, Dato’ Asmuni  berharap agar objektif penganjuran RTeX 2019 ini tercapai dan dapat mempersiapkan usahawan untuk meluaskan jualan ke peringkat antarabangsa.

“Diharap inisiatif kerajaan negeri ini dapat melahirkan usahawan negeri Perak yang berwibawa untuk bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan yang unggul menjelang tahun 2030.” katanya.

Antara topik yang disampaikan adalah Fahami Asas Penting Perniagaan Eksport, Kenalpasti Syarikat Berpotensi & Kesediaan Mengeksport, Pengurusan Aktiviti Eksport, Pemilihan & Kesesuaian Produk Untuk Eksport, Pemilihan Pasaran & Sasaran Jualan, Pengendalian Penyelidikan Pasaran, Panduan Praktikal dalam Penyediaan Pelan Eksport dan Sesi Perkongsian.

Selain itu, jabatan dan agensi di bawah SUPER seperti Yayasan Perak, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), SME Corporation Malaysia (Perak), Majlis Amanah Rakyat (MARA) Perak, Tekun Nasional dan Perbadanan Usahawanan Nasional Berhad (PUNB) turut mengadakan pameran dan menyediakan khidmat nasihat mengenai perkhidmatan produk pembiayaan yang ditawarkan oleh jabatan dan agensi masing-masing kepada peserta yang hadir.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )