Institusi Islam perlu berada di barisan hadapan sedarkan ummah tentang alam sekitar – Sultan Perak

KUALA LUMPUR: Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini bertitah agar institusi Islam perlu berada di barisan hadapan dalam menyedarkan ummah mengenai kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar. Baginda bertitah sedemikian semasa  menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku “40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar” karya Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Prof. Dr. Zulkifli Mohd Yusof bertempat di Dewan Azman Hashim, Menara Tun Razak, Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur.

“Masjid, surau, madrasah, pusat tahfiz, sekolah dan pelbagai institusi pendidikan, sewajibnya berada di barisan hadapan, menjuarai usaha untuk menyedarkan ummah mengenai alam sekitar dan menggerakkan ummah untuk memulihara alam sekitar secara konsisten sepanjang masa.”

“Ummah hendaklah disedarkan aspek-aspek hukum dan tatasusila Islam berkaitan alam sekitar.  Semoga melalui kesedaran yang disuntik dalam minda dan jiwa mereka, ummah insaf dan mensyukuri limpahan rahmat dan nikmat anugerah ILAHI di atas muka bumi ini, dan menjadi umat contoh daripada segi memulihara serta berakhlak dan beretika dalam mengatur hubungan dengan alam semesta.” titah baginda.

Sultan Nazrin juga berharap agar semua pihak dapat menjaga dan memulihara alam sekitar, yang merupakan satu tuntutan syarak serta fardu kifayah, dan tidak mengharap kepada kerajaan semata-mata untuk berbuat demikian.

“Memulihara alam sekitar merupakan tanggungjawab besar – satu tuntutan syarak – satu fardu kifayah.  Tanggungjawab besar perlu dilaksanakan secara bersama oleh setiap pihak, tidak semata-mata berharap dan diserahkan kepada kerajaan.  Hasrat memenuhi tanggungjawab besar tersebut perlu dipenuhi dalam dua fasa; pertama: mencetuskan kesedaran dan kedua melaksanakan tindakan.” titah baginda lagi.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada dua penulis yang telah menyusun buku dari konteks kaca mata agama kerana menurut baginda ia mampu menyedarkan umat Islam supaya lebih prihatin dan proaktif terhadap pelestarian alam sekitar menerusi penerbitan buku yang mendapat sokongan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.