Majlis Perbandaran Taiping jadi PBT pertama lancar Pelan Antirasuah

Majlis Perbandaran Taiping jadi PBT pertama lancar Pelan Antirasuah

TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan pertama (PBT) di negara ini melancarkan Pelan Antirasuah 2020 hingga 2024.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata pelan itu akan menjadi rujukan kepada semua warga MPT sekali gus membuktikan komitmen PBT tersebut terhadap usaha memerangi rasuah.

“Tindakan MPT ini jelas memperlihatkan keikhlasan, komitmen dan keinginan semua warga organisasi untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan bebas rasuah.

“Ini dapat memastikan tanggungjawab dan amanah mereka kepada masyarakat dapat dilaksanakan,” katanya ketika berucap melancarkan Pelan Antirasuah Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

Turut hadir Yang Dipertua MPT Borhan Abdul Halim.

Shamshun Baharin berkata elemen integriti dan antirasuah tidak dapat dipisahkan dalam operasi harian mana-mana PBT supaya misi organisasi untuk menjadi penggerak berwibawa, dinamik dan berdaya saing dalam penyampaian perkhidmatan perbandaran dapat dicapai.

Selain itu, Shamshun Baharin berkata SPRM menerima sebanyak 1,871 maklumat berhubung masalah rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa dalam kalangan PBT di seluruh negara bagi tempoh 2014 hingga 12 Dis tahun ini.

Katanya daripada maklumat yang diterima, sebanyak 126 kertas siasatan telah dibuka dan seramai 73 individu telah ditangkap sepanjang tempoh itu.

Dalam sidang media kemudiannya, Shamshun Baharin berkata SPRM menahan 2,428 penjawat awam daripada keseluruhan 5,186 tangkapan yang dibuat sejak 2014 sehingga bulan lalu.

Katanya mereka yang ditahan itu membabitkan penjawat awam berumur 40 tahun ke bawah.

“Kita perlu tangani masalah rasuah membabitkan golongan muda dan semua agensi perlu mengambil langkah pencegahan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPT Borhan Abdul Halim berkata hanya satu kes rasuah sahaja membabitkan seorang kakitangan MPT iaitu pada 2016 dan individu tersebut telah ditamatkan perkhidmatan.

Mengenai Pelan Antirasuah MPT, beliau berkata ia menumpukan kepada empat bidang iaitu penguatkuasaan undang-undang, perolehan awam, tadbir urus organisasi dan perundangan.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )