Perak terima RM5.45 juta untuk tahfiz dan pondok berdaftar

Perak terima RM5.45 juta untuk tahfiz dan pondok berdaftar

PUTRAJAYA: Perak menerima RM5 452 229 peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk kegunaan Institusi Pondok dan Tahfiz berdaftar di negeri ini baru-baru ini. Ianya adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM75 juta yang telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk kesemua negeri dan wilayah persekutuan. Peruntukan ini akan memberi manfaat kepada  617 institusi tahfiz dan 130 pondok berdaftar dan akan digunakan untuk tujuan yang ditetapkan seperti pendidikan, keselamatan, kesihatan serta kebersihan.

Replika cek dana berkenaan telah diserahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof kepada semua wakil yang hadir. Perak diwakili oleh Dato’ Haji Mohd Yusop bin Haji Husin selaku Pengarah Jabatan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata peruntukan daripada belanjawan 2019 dengan jumlah RM25 juta kepada tahfiz dan RM50 juta kepada sekolah pondok itu diagihkan sebagai komitmen kerajaan memastikan pembangunan institusi pondok dan tahfiz terus lestari dan diberi perhatian sepenuhnya.

“Sebagai institusi yang memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan terpuji, kerajaan sangat komited dalam memastikan pembangunannya terus lestari selari dengan situasi semasa permintaan masyarakat terhadap institusi tersebut.

“Peruntukan ini diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya mengikut tujuan ditetapkan termasuk menaiktaraf kemudahan prasarana agar kedua-dua institusi itu tidak terus diberi persepsi negatif,” katanya semasa berucap pada majlis penyerahan peruntukan tersebut di sini hari ini.

Dato Seri Dr Mujahid berkata, komitmen kerajaan terhadap pembangunan institusi pondok dan tahfiz adalah satu agenda berterusan apabila kerajaan melalui Belanjawan 2020 mengumumkan peruntukan dalam jumlah yang sama bagi kedua-dua institusi itu, tahun hadapan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )