Bela nasib umat Islam tanpa negara perlu jadi keutamaan – Sultan Nazrin

Bela nasib umat Islam tanpa negara perlu jadi keutamaan – Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah negara-negara Islam harus menangani keperitan yang dihadapi umat Islam tanpa negara di seluruh dunia seiring dengan proses meneruskan agenda pembangunan negara masing-masing.

Menegaskan bahawa ia perlu menjadi keutamaan, titahnya, negara-negara Islam perlu lebih terbabit dalam perbincangan dan percambahan fikiran mengenai perkara tersebut.

”Kita mempunyai tanggungjawab penting terhadap saudara sesama Islam kita yang tidak bernegara dan kita perlu melakukan usaha yang lebih baik untuk membantu dengan menawarkan tempat berteduh dan memberi sinar harapan,” titah baginda dalam ucapan diraja ketika menutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Centre (KLCC) di sini, hari ini.

Sultan Nazrin mengakui bahawa beberapa negara majoriti Islam seperti Turki, Lubnan, Jordan, Pakistan dan Iran sudahpun melakukan peranan masing-masing dengan menerima sejumlah besar pelarian, sebahagian daripada hampir 10 juta pelarian yang datang dari negara-negara majoriti Islam.

Tetapi dunia Islam, titahnya, dapat berbuat lebih banyak lagi terutama ketika ia membangun dan mempertingkatkan kekayaan dan kuasa dengan banyak negara majoriti Islam kini lebih makmur.

“Oleh itu, lebih banyak daripada kita dapat berusaha lebih gigih untuk meningkatkan kesedaran, menyumbang kepada dialog global dan menyediakaan pembiayaan dan sokongan material yang amat diperlukan dalam kerja-kerja bantuan kemanusiaan,” titahnya.

Baginda turut menegaskan bahawa kaum Muslimin menjadi kaum migran selepas dipaksa meninggalkan kampung halaman mereka kerana kesulitan, konflik dan penganiayaan dan mereka ini tidak seharusnya menempuh perjalanan bahaya ke benua Eropah untuk mencari kehidupan yang aman, selesa dan selamat.

Baginda bertitah salah satu sebab pelarian Islam mencari perlindungan di Eropah ialah mereka percaya benua itu dapat memberi mereka peluang yang lebih besar dalam bidang pendidikan, keselamatan kewangan serta kebebasan, martabat dan hak asasi manusia yang dilucutkan di negara asal mereka.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )