Perak negeri pertama tubuh sekretariat anak negeri di United Kingdom

Perak negeri pertama tubuh sekretariat anak negeri di United Kingdom

IPOH: Kerajaan Negeri Perak menerusi Sekretariat Mahasiswa Perak membentuk Jawatankuasa Penaja Persatuan Anak Perak di United Kingdom (UK), dengan hasrat menubuhkan sebuah persatuan khusus menjadi penghubung antara kerajaan negeri Perak dengan pelajar di UK dalam hal ehwal kebajikan, pendidikan dan pembangunan jati diri pelajar.

Pengerusi Sekretariat Mahasiswa Perak, Khairol Najib Hashim berkata delegasi sekretariat berkenaan yang diketuai Pengerusi Yayasan Perak, Datuk Asmuni Awi telah mengadakan pertemuan bersama Pengarah Education Malaysia (EM) London, Prof Madya Dr Shafie Mohamed Zabri bagi merealisasikan hasrat itu pada 20 Dis lalu.

Beliau berkata Persatuan Anak Perak itu juga disasar menjadi platform untuk kerajaan menyalurkan sebarang maklumat dan perkembangan semasa termasuk inisiatif dan insentif kerajaan yang boleh dimanfaatkan oleh para pelajar.

“Dalam pertemuan itu, Dr Shafie menzahirkan sokongan terhadap hasrat kerajaan negeri untuk menubuhkan Persatuan Anak Perak di UK yang mana, pihak EM London akan memberi kerjasama dan perhatian penuh untuk menjayakan usaha itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairol Najib berkata kewujudan persatuan berkenaan akan dapat membantu misi EM London memain peranan besar terutamanya sebagai pemudah cara dalam hal ehwal pelajar bukan sahaja di UK, malah sebahagian besar di negara Eropah.

Beliau berkata kerajaan negeri berhasrat supaya persatuan itu berdaftar secara rasmi dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.– BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )