MAIPk kerjasama dengan negara Nordik dalam TVET

MAIPk kerjasama dengan negara Nordik dalam TVET

IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan mengadakan kerjasama dalam bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan beberapa negara Nordik antaranya Norway, Finland dan Sweden.

Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin berkata kerjasama itu bagi membolehkan pelajar sekolah agama dan pondok, termasuk golongan asnaf menyertai TVET dalam usaha melahirkan tenaga kerja lebih berkemahiran, pada masa hadapan.

Katanya pihak MAIPk telah mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan, bagi membincangkan mengenai program yang akan dilaksanakan, selari dengan keperluan industri.

“Saya sendiri telah menyembah maklum kepada Sultan Perak (Sultan Nazrin Shah) yang mana baginda bersetuju dengan inisiatif tersebut, dan baginda dijangka akan merasmikannya selewat-lewatnya Jun tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas majlis penyampaian bantuan persekolahan, perubatan dan sumbangan, kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam serta Pertubuhan Rumah Anak-anak Yatim Negeri Perak, Bagi Tahun 2019 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk Shahrul Azam Shaari berkata, penyertaan pelajar sekolah agama, pondok dan asnaf dalam bidang TVET, dapat memberi nilai tambah sekali gus membantu mereka untuk meraih pendapatan lebih baik.

“Kita mahu memperluaskan skop pelajar tahfiz, yang telah menamatkan pengajian di sekolah agama supaya mempunyai pekerjaan yang bagus, dan tidak hanya sekadar menjadi imam atau guru agama sahaja.

“Pada masa yang sama, golongan (pelajar lepasan sekolah agama) ini dapat memperluaskan aktiviti berdakwah semasa bekerja, dalam sektor industri,” katanya.

Terdahulu, Wan Mohd Zahid menyampaikan agihan dana zakat kepada golongan fakir miskin, bantuan persekolahan mualaf dan anak yatim, selain bantuan kepada Majlis Kanser Nasional dan Institut Jantung Negara, yang berjumlah RM7.5 juta.

Selain itu, agihan dana zakat tersebut turut diberikan kepada 26 buah NGO Islam di negeri ini, serta sumbangan kepada pusat perlindungan warga emas dan lapan Pertubuhan Mubaligh Islam Negeri.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )