200 anak Orang Asli terima bantuan persekolahan SSI

200 anak Orang Asli terima bantuan persekolahan SSI

SUNGKAI : Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) menceriakan 200 pelajar berketurunan Orang Asli dari dua buah kampung angkat perbadanan itu dalam Program Kembali ke Sekolah di sini.

Dalam program yang dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Encik Azizul Rahman Mohammed, anak-anak Orang Asli yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah tersebut menerima sumbangan beg dan pakaian seragam sekolah.

Program tersebut diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Yayasan Perak.

Turut hadir pada program penyampaian bantuan itu ialah Timbalan Pengurus Besar Yayasan Perak, Puan Rohana Mohamad dan wakil Pejabat ADUN Behrang, Encik Mohamad Fairul Badry.

Program tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) SSI yang dilaksanakan bagi menyahut seruan YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu yang menyarankan syarikat-syarikat korporat tempatan menjadikan perkampungan Orang Asli sebagai kampung angkat mereka.

Dua perkampungan yang menjadi kampung angkat SSI ialah Kampung Orang Asli Tidong dan Gamus yang terletak berhampiran Sg. Klah, dekat sini baru-baru ini seperti dilaporkan Suara Perak.

Menurut Azizul Rahman, selain program Kembali ke Sekolah, aktiviti CSR yang dilaksanakan oleh SSI yang memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli ialah membina dua unit bagunan baharu yang menempatkan pusat rawatan bagi memudahkan perkhidmatan pasukan dari klinik kesihatan membuat pemeriksaan.

“Selain daripada program sumbangan keperluan persekolahan ini, SSI turut merangka program untuk memperkasakan ekonomi masyarakat Orang Asli di dua kampung ini.

“SSI berharap program dan bantuan yang dihulurkan ini dapat memberi kebaikan kepada masyarakat Orang Asli di dua kampung tersebut dan kawasan sekitarnya,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )