Sebak! Datuk pinjam motor bawa 3 cucu dapatkan barang persekolahan

IPOH: Disebabkan kesempitan hidup, seorang datuk terpaksa meminjam motosikal rakannya untuk membawa tiga cucunya ke program sumbangan ‘Back To School’ anjuran Pejabat DUN Titi Serong jumaat lalu.

Kisah Pakcik Kassim yang hiba dan meruntun jiwa ini dikongsikan oleh Exco Kerajaan Negeri Perak yang juga ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim di laman Facebooknya.

Beliau diuji oleh Allah dengan kehidupan yang serba kedhaifan dan kekurangan.

Kassim menjaga tiga orang cucu setelah anak lelaki dan menantunya bercerai oleh kerana anak lelakinya itu mengalami masalah kesihatan.

“Atas sebab demikian anak lelakinya itu hilang kemampuan untuk menjaga anaknya.

“Oleh yang demikian, Pakcik Kassim berkorban mengambil tanggungjawab menjaga tiga cucunya itu,” kata Hasnul.

Hasnul Zulkarnain berbual dengan Pakcik Kassim di kaki lima kedai.

Dalam program Back To School Dun Titi Serong, Hasnul berkata beliau turut memilih ketiga-tiga orang Pakcik Kassim sebagai penerima, semua penerima diminta hadir ke sebuah pusat membeli-belah untuk masing-masing memilih kelengkapan persekolahan.

“Kelihatan Pakcik Kassim datang membawa cucunya menaiki motosikal.

“Saya terus menyapa Pakcik Kassim dan beliau menceritakan bahawa beliau terpaksa untuk meminjam motosikal kenalannya semata-mata untuk datang membawa cucunya.

“Luluh hati saya bila diberitahu (memimjan motor). Kalau saya tahu, sudah pasti saya sendiri yang datang ambil cucu-cucunya,” jelas Hasnul.

Menurut Hasnul, Kassim menceritakan kepadanya, demi cucu-cucu kesayangannya itu, beliau sanggup berkorban apa sahaja.

“Ternyata Pakcik Kassim seorang datuk yang sangat bertanggungjawab walaupun diuji dengan serba kekurangan.

“Sudah pasti saya akan terus membantu keluarga Pakcik Kassim. Semoga Pakcik Kassim akan terus kuat melalui ranjau kehidupan yang serba ujian. Saya akan terus membantu!,” kata Hasnul.

Leave a Reply

Your email address will not be published.