MAQIS Perak rampas 200 anak pokok tanpa permit sah

MAQIS Perak rampas 200 anak pokok tanpa permit sah

IPOH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perak merampas 200 anak pokok pelbagai jenis yang dibawa masuk tanpa permit import sah dari Thailand di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Hulu di Gerik.

Pengarahnya, Rozita Superman berkata pihaknya melakukan rampasan itu ketika menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan awam yang memasuki ke negara ini dengan membawa anak pokok dari negara jiran itu semasa cuti sekolah dan cuti sempena sambutan perayaan Hari Krismas.

“Antara anak pokok yang dirampas adalah durian, kelapa, nenas, tebu, buluh, ubi, bunga hiasan dan pelbagai benih sayur-sayuran.

“Selain itu, beberapa barangan lain yang turut dirampas adalah sejumlah 50 kilogram produk hasilan haiwan iaitu sosej yang dianggarkan bernilai lebih RM1,500,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua barangan yang dirampas akan disiasat mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan peraturan-peraturan yang berkaitan.

Rozita berkata aktiviti mengimport keluaran pertanian tanpa permit import merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang mana boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata setiap keluaran pertanian yang diimport perlu mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan bagi mengawal kemasukan penyakit tumbuhan dan menjamin keselamatan makanan agar sentiasa bersih dan selamat untuk dimakan oleh rakyat di negara ini.

“Tahap kesedaran yang masih rendah di kalangan orang awam menyebabkan cubaan membawa masuk pelbagai jenis anak pokok masih berlaku.

“Pihak MAQIS akan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak terlibat dalam mengimport atau membawa masuk keluaran pertanian tanpa permit import yang sah dan juga tidak mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )