Tahun 2020: Agenda perpaduan, pemberdayaan belia jadi keutamaan – Hasnul

KUALA LUMPUR: Tahun 2019 telah mencatatkan banyak kejayaan dan peningkatan usaha yang dibuat dalam memastikan negara terus berada pada landasan yang betul.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkara, Belanjawan 2020 adalah antara bukti komitmen kerajaan meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam memandu negara ini.

“Pada tahun 2020, kami beriltizam untuk menjadikan agenda perpaduan sebagai teras dalam setiap program dan inisiatif yang dirangka.

“Mesej rahmah, damai, harmoni, dan kesatuan sesama kita akan terus kami sampaikan kepada semua,” katanya dalam Perutusan Ketua Pemuda AMANAH Nasional sempena Tahun Baru 2020 hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak itu berkata, Pemuda AMANAH akan turut serta dalam usaha memperbaiki ekonomi negara untuk melihat peningkatan peluang pekerjaan terutamanya dalam kalangan graduan dan belia.

“Dalam hal pendidikan, kami juga akan memastikan TVET terus diperkasa dan dasar-dasar berkaitan dapat dilaksanakan sebaiknya.

“Tahun 2019 juga menyaksikan kita berdepan dengan beberapa isu melibatkan hubungan antarabangsa.

“Untuk 2020, Malaysia perlu terus berdiri sebagai negara berkecuali dalam apa-apa krisis bagi memastikan Malaysia tidak menerima tempias tekanan ekonomi yang mungkin boleh menjejaskan sektor-sektor tertentu dalam negara,” jelasnya.

Dalam konteks anak muda, Hasnul berkata, kelestarian program pemberdayaan belia (youth empowerment) turut menjadi keutamaan Pemuda AMANAH.

Katanya, program-program ke arah membina anak muda yang berkualiti dalam segenap aspek akan direncana demi melihat peranan anak muda turut diberi perhatian dalam membina Malaysia Baharu.

“Semoga kita semua terus diberi kekuatan untuk berbakti kepada Malaysia, tanah tumpahnya darahku,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.