1,300 murid di Perak terima manfaat program sarapan percuma untuk fasa pertama

1,300 murid di Perak terima manfaat program sarapan percuma untuk fasa pertama

IPOH: Kira-kira 1,300 murid sekolah rendah di Perak menerima manfaat menerusi Program Sarapan Percuma (PSP) bagi fasa pertama yang akan bermula pada 20 Jan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak Dr Abdul Aziz Bari berkata jumlah itu melibatkan tujuh buah sekolah dari tujuh daerah di negeri ini.

“Antara murid sekolah yang paling ramai menerima PSP ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ayer Tawar, Manjung iaitu seramai 394 orang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Datin Khadijah di Kuala Kangsar seramai 231 orang,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan sesi hari pertama persekolahan di Sekolah Rendah Islam Pintar di Simpang Pulai di sini, hari ini.

Selain itu, murid yang menerima PSP ialah SK Jernang, Tanjung Malim melibatkan 165 orang, SK Seri Tanjung, Tanjung Rambutan (141); SK Sungai Tiang, Gerik (136); SK Suak Padi, Bota (121) dan SK Pos Dipang, Kampar (104).

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) memberi bantuan per kapita pelajar sekolah agama iaitu sejumlah RM2 juta kepada sekolah tahfiz dan sekolah pondok manakala RM3 juta diperuntukkan kepada sekolah agama rakyat di negeri ini.

“Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan sekolah agama kerana dalam Belanjawan Perak 2020, kita banyak menyumbang kepada bukan sahaja sekolah milik penuh kerajaan tetapi juga kepada sekolah mubaligh dan sekolah agama atau tahfiz.

“Saya percaya tahun ini mampu menjadi titik tolak dalam usaha mengembalikan kegemilangan pendidikan negeri Perak khususnya apabila pelbagai pihak bersama membantu memainkan kerjasama yang baik tanpa bersikap diskriminasi kepada mana-mana sekolah jenis kebangsaan, sekolah mubaligh atau sekolah agama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri telah menambah jumlah peruntukan untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan kelab guru kepada RM2 juta berbanding RM1.2 juta sebelum ini.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )