Kerajaan Perak komited bantu tahfiz, mahu lebih banyak lahirkan hafiz dan hafizah

Kerajaan Perak komited bantu tahfiz, mahu lebih banyak lahirkan hafiz dan hafizah

IPOH: Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Dr Abdul Aziz Bari kagum dengan kesungguhan pelajar tahfiz muda pelajar Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Hidayah, Gerik Perak.

Menurutnya, pelajar-pelajar tersebut sangat bersungguh-sungguh dan berjaya meletakkan Al-Quran di hati dan minda mereka.

“Biar pun tersorok di kawasan pendalaman dan serba kekurangan kemudahan, ia tidak pernah melunturkan semangat mereka.

“Mereka bersungguh-sungguh untuk mendalami bidang Al-Quran dan berjaya meletakkan Al-Quran di hati dan mida mereka,” katanya.

Beliau berkara demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian sijil kepada pelajar Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Hidayah, Gerik Perak baru-baru.

Aziz Bari menjelaskan, untuk Belanjawan Perak 2020, kerajaan negeri telah memperuntukan RM3.3 juta bagi membantu pusat-pusat Tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dari segi menambah baik kemudahan infrastruktur dan keselamatan.

Ini katanya sebagai usaha mengelak dari kejadian yang tidak diingini berlaku kepada anak-anak tahfiz.

Dalam masa yang sama, bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat tetap diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM3.0 juta.

“Bantuan pendidikan mengikut per kapita pelajar juga telah diperkenalkan pada awal tahun ini.

“Untuk itu, agihan peruntukan tahun 2020 kepada Sekolah Tahfiz dan Sekolah Pondok Swasta yang berdaftar dengan JAIPk adalah diperuntukan sebanyak RM2.0 juta lagi.

“Semoga dengan bantuan dan sokongan kerajaan negeri ini dapat terus mendokong dan memangkin usaha pusat tahfiz dalam membentuk hafiz dan hafizah yang lebih ramai dari negeri ini.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )