Nelayan Kuala Kurau dan Tanjung Piandang sanggup tidak ke laut demi pulih sumber perikanan

Nelayan Kuala Kurau dan Tanjung Piandang sanggup tidak ke laut demi pulih sumber perikanan

IPOH: Kira-kira 1,000 nelayan pukat kenka dua bot dari Kuala Kurau dan Tanjung Piandang dekat sini tidak turun ke laut untuk menangkap ikan setiap Ahad mulai hari ini untuk memulihkan sumber perikanan yang kian merosot.

Pengarah Perikanan Perak, Zaki Mokri berkata ia susulan perjumpaan pihaknya bersama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kurau untuk merangka satu pelan Pengurusan Perikanan Secara Komuniti Setempat (CBFM).

“Persatuan Nelayan bersetuju untuk mengurangkan tekanan terhadap sumber perikanan dengan mengadakan hari tidak ke laut pada setiap hari Ahad sebagai langkah awal untuk memulihkan sumber perikanan di perairan mereka.

“Pada peringkat awal, mulai 1 Jan, 2020, kita cuba untuk tidak ke laut sehari setiap minggu dan selepas enam bulan kita akan kaji impaknya terhadap sumber serta menambah baik usaha untuk memastikan sumber perikanan pulih ke tahap asalnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kaedah musim tertutup itu juga akan diguna pakai bagi peralatan yang lain seperti pukat tunda, jerut bilis atau mana-mana sumber perikanan yang kian merosot.

Dari 2015, hasil tangkapan oleh pukat kenka dua bot mulai merosot setiap tahun malah kawasan tangkapan juga terhad iaitu 5.0 batu nautika (bn) dari pantai hingga 12.0 bn bermula di Bagan Tiang di utara dan berakhir di Kuala Gula di bahagian selatan.

Zaki berkata dengan keluasan operasi hampir 50 bn persegi (162 km persegi) bagi menampung 526 vesel pukat kenka dua bot, serta sumber perikanan semakin merosot, satu tindakan segera perlu di ambil bagi memulih sumber perikanan.

“Nelayan sedar hasil tangkapan mereka tidak sebanyak lima tahun yang lepas, mereka juga perlu berada di laut lebih lama tetapi hasil tangkapan tidak seberapa berikutan ikan di laut telah berkurangan dan saiznya juga semakin kecil.

“Tindakan yang diambil perlu pengorbanan daripada nelayan, nelayan juga perlu terlibat secara langsung dalam pengurusan sumber perikanan, bukan hanya di bahu Jabatan Perikanan,” katanya.

Beliau berkata musim tertutup juga satu kaedah untuk memulihkan semula sumber perikanan bagi mengurangkan tekanan terhadap sumber perikanan, di samping mengawal bilangan vesel dan bilangan nelayan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )