Hasnul santuni pelajar, lulus peruntukan RM16 ribu kepada kelas pendidikan khas SMK Pekan Baru

PARIT BUNTAR: ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim telah mengadakan lawatan ke empat buah sekolah di Dun Titi Serong iaitu Sekolah Kebangsaan Wawasan, Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Saint Mary’s, Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Baru dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sun Hwa.

Menurutnya, hasrat beliau ingin mengadakan lawatan tersebut pada hari pertama sesi persekolahan bermula namun atas faktor kesihatan beliau terpaksa tangguhkan hasrat saya.

Lawatan tersebut katanya bertujuan untuk menyantuni para pelajar yang baru memulakan sesi persekolahan bagi sesi 2020.

Selain itu, Hasnul mahu mendengar sendiri harapan dan inspirasi pihak pentadbir sekolah kepada kerajaan terhadap apa jua perkara.

“Saya selaku wakil rakyat sudah tentu mahu memastikan perjalanan pentadbiran sekolah lancar dan setiap kekurangan itu dapat diatasi sebaiknya demi masa depan para pelajar.

“Beberapa perkara telah disampaikan kepada saya dan InshaAllah saya akan cuba realisasikannya,” katanya.

Hasnul Zulkarnain menyantuni pelajar ketika mengadakan lawatan di sekolah-sekolah di dalam Dun Titi Serong

Dalam perkembangan berkaitan, Hasnul berkata, seperti rutin sebelum ini, kelas pendidikan khas sudah pasti menjadi perhatiannya.

Semasa lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Baru, beliau telah meluangkan masa yang lama menyantuni pelajar-pelajar istimewa di kelas pendidikan khas sekolah tersebut.

Mereka ini terdiri daripada pelajar kelainan upaya seperti cacat penglihatan, down sindrom, dan sebagainya.

“Seronok dan sayu perasaan apabila dapat bermesra bersama mereka. Mereka ini adalah inspirasi kepada saya, melahirkan rasa syukur pada diri ini atas setiap nikmat yang diberikan,” katanya.

Dalam lawatan itu, beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan peruntukan berjumlah RM16 ribu kepada kelas pendidikan khas sekolah tersebut.

Ini kata beliau sebagai menampung perbelanjaan barangan dapur bagi penyediaan makanan kepada anak-anak syurga dan istimewa itu.

“Sumbangan tersebut sebagai inspirasi kepada para pendidik yang cekal dan anak-anak syurga yang istimewa itu.

“Moga ia mampu mengukir senyuman dan mengurangkan bebanan pihak sekolah.

Inshaallah, saya dan Kerajaan Negeri Perak sentiasa mengambil perhatian terhadap perjalanan pentadbiran sesi persekolahan dan akan memperbaiki kekurangan yang ada dari semasa ke semasa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.