Dua pegawai SPRM ditempatkan di pejabat MB Perak

IPOH: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ditempatkan dalam pentadbiran kerajaan negeri Perak termasuk seorang daripadanya diletakkan di pejabat Menteri Besar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata seorang daripadanya pula akan ditempatkan di Unit Integriti dan Inovasi di Sekretariat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak.

“Kerajaan Perak akan meneruskan (tindakan sebelum ini) menerima pegawai SPRM di pejabat Menteri Besar dan Unit Integriti di Sekretariat SUK.

“Jangan bimbang, penempatan ini bukan bertujuan `mengintai’ tingkah laku penjawat awam sebaliknya untuk memperhebat usaha pencegahan rasuah kerana kita tahu amalan rasuah boleh meruntuhkan sesebuah kerajaan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya,di pejabat Menteri Besar di sini semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad.

Kehadiran pegawai SPRM itu diharap dapat membantu Unit Integriti dan Inovasi menyediakan pelan antirasuah yang akan dijadikan panduan dalam urusan harian kerajaan negeri, selain membantu kerajaan negeri memberi kefahaman kepada orang ramai kepentingan menangani masalah rasuah.

Sementara itu, Latheefa berkata, pihaknya bersedia menawarkan pegawai kanan agensi itu yang terlatih untuk mengetuai Unit Integriti dan Inovasi kerajaan negeri agar program pencegahan rasuah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Pogram penempatan pegawai SPRM sudah dilaksanakan di Perak sebelum ini dan proses berkenaan akan dilakukan semula tahun ini yang dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh sebulan ini.

Sabah sudah memulakan program penempatan pegawai SPRM itu berkuat kuasa 2 Januari lalu manakala Kedah sudah menyatakan kesediaan berbuat demikian.

Latheefa berkata, untuk negeri lain, SPRM sedang melakukan rundingan termasuk berusaha memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan negeri masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published.