Kelulusan ladang hutan di Hutan Simpan Bukit Kinta masih di peringkat dasar

IPOH: Kelulusan untuk mengusahakan ladang hutan di Hutan Simpan Bukit Kinta adalah  secara  dasar dan masih tertakluk kepada  semakan Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan laporan penilaian Kesan Alam Sekitar.

Pejabat Menteri Besar Perak dalam kenyataan hari ini berkata ia juga masih dalam semakan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan kerajaan negeri mengambil maklum mengenai satu memorandum bantahan terhadap cadangan projek pembangunan berkenaan.

“Untuk makluman, kerajaan negeri telah pun meminta syarikat berkaitan untuk mengemukakan cadangan kawasan lain selepas semakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak mendapati kawasan yang dicadangkan sebelum ini tidak sesuai untuk pembangunan ladang hutan,” menurut  kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan Pakatan Harapan Perak telah mengurangkan hampir separuh Zon Pembangunan Ladang Hutan seluas 61,189 hektar yang diluluskan oleh pentadbiran terdahulu.

Katanya kelulusan Zon Pembangunan Ladang Hutan itu dikeluarkan oleh Majlis Tanah Negara pada tahun 2012 dan daripada 439,000 hektar yang diluluskan seluruh negara, 100,000 hektar terletak di dalam Hutan Simpan Kekal negeri Perak.

“Daripada jumlah ini, hanya 7,828 hektar telah diusahakan manakala yang selebihnya masih dalam proses seperti penyediaan EIA dan Rancangan Pengurusan Hutan,” jelas kenyataan itu.

Menurut  kenyataan itu, semua permohonan mesti melalui proses yang ditetapkan oleh kerajaan dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak juga telah memulakan usaha menambah baik Prosedur Operasi Standard.

Kerajaan negeri  sentiasa prihatin terhadap impak sesuatu projek pembangunan terhadap alam sekitar serta masyarakat sekeliling dan kelulusan akhir sesuatu cadangan projek hanya diberikan sekiranya semua peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh agensi-agensi berkaitan dipatuhi sepenuhnya.

Hari ini  lebih 20 orang dari beberapa komuniti Orang Asli kawasan Simpang Pulai menghadiri satu perhimpunan bagi menyerahkan memorandum berhubung isu projek itu di pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di sini.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.