KPKT peruntukkan RM11.7 juta kepada Perak, MB ucap tahniah

IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM11.7 juta kepada empat kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak.

Peruntukan tersebut adalah untuk membiayai beberapa projek naik taraf pasar awam serta beberapa kemudahan lain.

Antara peruntukan yang telah diluluskan adalah kepada Majlis Perbandaran Taiping sebanyak RM2 juta bagi pembangunan menaik taraf Jeti Kuala Sepetang supaya lebih moden dan meningkatkan keselesaan kepada pelancong.

Majlis Daerah Gerik pula mendapat peruntukan sebanyak RM2.8 juta bagi menaiktaraf pasar, arked dan projek-projek kecil.

Majlis Perbandaran Kuala Kangsar menerima peruntukan tertinggi iaitu lebih RM5 juta bagi naik taraf Pasar Awam Kuala Kangsar, pembinaan dewan dan naik taraf sistem siar raya serta pendingin hawa Dewan Serbaguna Chandan Puteri.

“Kita sedia maklum bahawa Kuala Kangsar merupakan Bandar Diraja dan sering dikunjungi delegasi asing untuk bertemu dengan Sultan Perak selain bandar ini terdapat Universiti Sultan Azlan Shah. Dengan ada beberapa naik taraf yang dibuat akan meningkatkan imej Bandar Kuala Kangsar ini.

“Malah kita berharap supaya Majlis Perbandara Kuala Kangsar meletakkan sasaran menjadi sebuah bandar raya selari dengan imej Bandar Diraja dalam masa dua tahun,” kata Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin kepada pemberita ketika sesi lawatan kerja ke negeri Perak semalam.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak Dato Seri Ahmad Faizal Azumu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas peruntukan yang telah disumbangkan oleh kemtenterian tersebut.

Menurutnya, peruntukan tersebut pastinya akan membantu semua majlis daerah terbabit untuk merancakkan lagi aktiviti pelancongan serta menambahbaik kemudahan prasarana untuk rakyat.

“Kerajaan negeri juga menerima baik saranan-saranan pihak kementerian untuk memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur pelancongan sedia ada bagi menjadikan Perak sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Zuraida di Bangunan Darul Ridzuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.