Program NTEP wujudkan lebih 11,000 pekerjaan di Perak

TANJUNG MALIM: Kira-kira 11,100 pekerjaan diwujudkan melalui program NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) sebagai insentif menarik pelaburan swasta sekaligus mengatasi isu siswazah menganggur di Perak.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata peluang pekerjaan berkenaan membantu meningkatkan kualiti hidup graduan tempatan dengan melahirkan tenaga kerja mahir untuk keperluan industri di wilayah koridor utara, termasuk ekosistem ekonomi digital.

“NTEP, satu daripada empat program modal insan yang dilancarkan hari ini yang disasarkan khusus bagi golongan belia dan wanita, Orang Asli terutamanya mereka yang berada dalam kumpulan B40 serta graduan, penganggur dan usahawan mikro,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Program-Program Modal Insan: Menyemarakkan Kemakmuran, Memperkasakan Rakyat anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri di Institut Latihan Statistik Malaysia, Sungkai dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Selain NTEP, Ahmad Faizal turut melancarkan tiga lagi program modal insan NCIA iaitu program empowerNCER@Perak, entrepreneurNCER@Perak dan Dana Mudahcara Bumiputera (DMB) yang menjurus ke arah pembangunan menyeluruh bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan, meningkatkan peluang keusahawanan dan melonjakkan pendapatan isi rumah yang mula dilaksanakan sejak September lepas.

Ahmad Faizal berkata program empowerNCER@Perak melalui komponen Latihan Kemahiran dan Keusahawanan berupaya melahirkan komuniti berpendapatan tinggi mencakupi pelbagai bidang termasuk kulinari dan pemprosesan makanan sejuk beku, bakeri dan pastri, baikpulih elektrik dan pendingin hawa, jahitan, dandanan rambut lelaki dan spa kecantikan.

Bagi memperkasakan program empowerNCER@Perak, institusi pendidikan tinggi di Perak akan dilantik untuk menjalankan kelas bimbingan dan kursus pembangunan sahsiah khas untuk para pelajar, guru dan ibu bapa yang terlibat.

“Melalui program empowerNCER–MyKasih pula, sekolah terpilih akan dibekalkan peralatan teknologi maklumat terkini dan peralatan robotik supaya pelajar lebih seronok dan berminat untuk belajar subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM secara kreatif dan interaktif.

“Saya difahamkan kursus khas juga akan dirangka bagi pembangunan modal insan dan meningkatkan kemahiran masyarakat Orang Asli termasuk aktiviti untuk memajukan industri ekopelancongan berasaskan komuniti, kampung dan sumber sedia ada,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, NCIA turut menyediakan program entrepreneurNCER@Perak bagi melahirkan usahawan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) khususnya di kawasan luar bandar kepada mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan sendiri selepas selesai mengambil kursus berkenaan.

Katanya, bagi usahawan Bumiputera, NCIA juga memberi sokongan dalam bentuk kewangan sebagai pemangkin kepada syarikat mereka dalam pelaksanaan projek-projek melalui program DMB.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.