Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pangku tugas Datuk Bandar Ipoh

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pangku tugas Datuk Bandar Ipoh

IPOH: Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim akan memangku tugas jawatan Datuk Bandar Ipoh.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara tersebut telah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak hari ini.

Suaidi yang merupakan penyandang jawatan Datuk Bandar Ipoh sebelum naik pangkat menjadi SUK Perak akan memangku jawatan itu sehingga calon yang baharu dikenalpasti dan dilantik secara rasmi.

“Sebenarnya Ahmad Suaidi telah memangku jawatan itu sejak dilantik sebagai SUK pada 18 Disember lalu tetapi hari ini mesyuarat Exco memutuskan secara rasmi perkara tersebut.

“Segala tugasan Datuk Bandar Ipoh akan dipangku oleh SUK Perak, maka tak ada isu kita tidak mempunyai Datuk Bandar Ipoh. Kita ada iaitu Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim.

“Ia menjadi kuasa negeri untuk melantik mana-mana individu dijadikan pemangku Datuk Bandar Ipoh.

“Sebenarnya, sebelum ini seorang menteri besar pernah memangku jawatan Datuk Bandar Ipoh. Hari ini kita putuskan secara bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Wawancara Menteri Besar Perak bersama Radio dan Berita RTM mengenai pencapaian Kerajaan Negeri Perak sepanjang tahun 2019 di Konti Perak FM, di sini, hari ini.

Ahmad Suaidi dilantik menjadi SUK Perak yang baharu menggantikan Datuk Zainal Azman Abu Seman yang dinaikkan pangkat menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )