Kerajaan fokus kebajikan rakyat, tidak hasrat tukar pusat pentadbiran ke Meru

Kerajaan fokus kebajikan rakyat, tidak hasrat tukar pusat pentadbiran ke Meru

IPOH: Perak tidak mempunyai perancangan untuk memindahkan pusat pentadbiran kerajaan negeri di bandar raya Ipoh ke Bandar Meru Raya.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, fokus kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan lebih memfokuskan kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negeri.

“Kerajaan negeri ingin membelanjakan wang dengan memfokuskan kebajikan rakyat dan pembangunan termasuk pembinaan lebuh raya serta perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menjadi tetamu program Wawancara Bersama Radio dan Berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Mengenai Pencapaian Negeri 2019 di sini semalam.

Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang ditanya mengenai status cadangan memindahkan pusat pentadbiran kerajaan negeri ke Meru sebagaimana yang pernah dinyatakan semasa sidang DUN pada Ogos 2018.

Pada persidangan itu, Ahmad Faizal memberitahu Dewan bahawa kerajaan negeri bercadang memindahkan pusat pentadbiran ke Bandar Meru Raya yang terletak kira-kira 15 minit dari sini kerana kawasan itu bukan sahaja sedang giat membangun, malah mempunyai banyak pejabat jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan.

Ditanya mengenai status pembangunan semula kediaman rasmi lama menteri besar di Jalan Raja Dihilir di sini, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan ia masih dalam perbincangan dengan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Perak (UPEN).

Ahmad Faizal berkata, pihak kerajaan negeri menerima pelbagai cadangan pembangunan di tapak itu yang perlu diteliti dan ia dijangka mengambil masa berikutan sesuatu pembangunan yang dilaksanakan akan memberi perubahan landskap di Ipoh.

“Sekiranya terlalu tinggi atau terlalu rendah pun akan memberi kesan. Kita nak lebih ramai orang datang (beri cadangan) jadi akan membuat pilihan yang terbaik untuk orang Ipoh,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )