Pembangunan Pulau Pangkor perlu masa, kerajaan mahu warga tempatan terima impak positif

Pembangunan Pulau Pangkor perlu masa, kerajaan mahu warga tempatan terima impak positif

IPOH: Selain membangunkan Pulau Pangkor yang telah diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai, Kerajaan Negeri Perak berusaha memastikan warga tempatan menerima impak yang positif.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha tersebut sudah pasti memerlukan tempoh masa bagi meminimumkan sebarang isu berbangkit pada masa akan datang.

Katanya, kerajaan tidak mahu usaha itu dilakukan dengan drastik sehingga menyebabkan kejutan budaya.

Justeru, katanya, kerajaan akan mengambil sedikit masa agar dapat meminimumkan sebarang kesilapan.

“Hasrat kita adalah untuk memberi limpahan ekonomi yang terbaik kepada warga tempatan.

“Kita boleh sahaja tarik pelabur luar untuk membuka perniagaan di Pulau Pangkor namun akhirnya rakyat tempatan hanya menjadi kuli. Itu bukan malah jauh sekali daripada hasrat kita.

“Kita mahukan pembangunan itu dijalankan secara berperingkat dan pada masa sama kita akan menerima pandangan-pandangan rakyat tempatan,” katanya kepada pemberita di RTM Perak, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal mengesahkan bahawa minuman keras termasuk dalam senarai barangan bebas cukai di Pulau Pangkor.

Kementerian Kewangan dalan satu jawapan bertulis di Dewan Negara menjelaskan keputusan menyenaraikan produk rokok dan minuman keras sebagai barangan bebas cukai di PBC Pangkor bertujuan memberi layanan yang seragam sepertimana dilaksanakan di PBC Langkawi, Labuan dan Tioman selama ini.

Menyedari hakikat itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri telah membuat satu kajian lanjut, ini termasuklah cadangan menyediakan zon khas bagi penjualan item itu pulau tersebut.

“Saya cadangkan agar dapat diwujudkan satu kawasan khas bagi zon perdagangan bebas untuk penjualan minuman keras.

“Ini selari dengan kehendak penduduk tempatan juga, yang sebelum ini daripada kerajaan terdahulu mengatakan tidak mahu ianya jadi sebahagian daripada barangan bebas cukai.

“Maka dalam Sidang DUN yang lalu, saya sendiri telah menyatakan komitmen tersebut namun penerangan daripada kerajaan persekutuan bahawa dasar kerajaan adalah sebaliknya.

“Jadi pihak berkuasa negeri ada pandangan lain, mungkin ada banyak perkara yang perlu kita usahakan terlebih dahulu.

“Yang penting selepas Pangkor ini dapatkan status pulau bebas cukai, kita perlu bangunkan dari segi pelancongan, prasarana awam, fasiliti kerajaan dan sebagainya,” katanya lagi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )