Kerajaan akan naikkan lagi elaun guru KAFA tahun depan

Kerajaan akan naikkan lagi elaun guru KAFA tahun depan

NIBONG TEBAL: Kerajaan Pakatan Harapan akan berusaha menaikkan lagi elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang kini berjumlah RM1,000, pada tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mujahid Yusof, berkata ia sebagai penghargaan kepada mereka bagi meningkatkan lagi kualiti pengajaran, selain kenaikan elaun itu dapat dijadikan motivasi supaya mereka tidak berasa dipinggirkan.

“Baru-baru ini, elaun mereka (guru KAFA) naik RM100, menjadikan jumlah diterima RM1,000.

“Bagaimanapun, ia tidak akan habis di sini saja, kita akan minta (dinaikkan) lagi pada Belanjawan 2021 nanti supaya guru KAFA ada kualiti dan tidak terpinggir dari sudut elaun,” katanya, lapor BH Online.

Kerajaan dalam Belanjawan 2020 sebelum ini mengumumkan kenaikan elaun guru KAFA sebanyak RM100 sebulan kepada 33,200 guru KAFA, membabitkan peruntukan tambahan RM46 juta.

Selain kenaikan elaun, Mujahid berkata, pihaknya juga dalam perbincangan untuk melihat semula pemberian elaun kepada guru KAFA yang cuti bersalin.

Ketika ini, guru KAFA yang cuti bersalin tidak menerima sebarang elaun.

“Ini (elaun ketika cuti bersalin) termasuk dalam perbincangan, tetapi kita cuba buat setakat termampu,” katanya.

Sementara itu, Mujahid berkata, e-RPH adalah inovasi yang dibangunkan KAFA Pulau Pinang bagi memudahkan guru KAFA merangka pengajaran harian secara dalam talian, tanpa perlu menulis dalam buku lagi.

“Saya berharap ia dapat dijadikan contoh kepada KAFA lain dalam usaha membantu guru KAFA merangka pengajaran harian mereka dengan lebih mudah,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )