Sudah lama makcik tunggu saat ini, kata seorang daripada 420 penerima lot tanah

Sudah lama makcik tunggu saat ini, kata seorang daripada 420 penerima lot tanah

LUMUT: “Alhamdulillah, dah lama makcik tunggu saat ini,” demikianlah luahan gembira seorang penerima lot tanah di Lot RPT Kampung Sungai Tiram, Lekir Perak.

Zaiti Akhtar Mohd Basari adalah salah seorang daripada 420 orang penerima Notis 5A tanah di lokasi tersebut.

Menurutnya, beliau sudah lama berharap dapat memiliki tanah yang sudah lama mereka duduki itu.

Sebelum ini kata beliau, beliau sekeluarga hidup dalam serba resah kerana menduduki rumah di tanah yang bukan lagi milik mereka.

“Alhamdulillah, tidak tahu nak gambarkan betapa gembiranya kami hari ini. Terima kasih kepada YB (Adun Pasir Panjang, YB Cikgu Yahaya bin Mat Nor) yang sangat prihatin.

“Dapat juga kami lot tanah ini untuk kami menumpang teduh dan tinggal,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian NOTIS 5A Tapak Tanah Lot RPT Kampung Sungai Tiram, Lekir Perak 15 Januari lalu.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg Sungai Tiram, Abdul Rahman Nagi berkata, seramai 420 orang penerima menerima Notis 5A ini yang mana permohonan ini telah dikemukakan ke Pejabat Daerah dan Tanah Manjung sejak November 2018 lagi selepas Kerajaan Pakatan Harapan memerintah dan barisan MPKK baru selesai dilantik.

Menurutnya, MPKK sangat prihatin membantu memudahkan urusan golongan yang layak memiliki tanah seperti para penerima kali ini.

“Kami sangat komited berkhidmat kepada masyarakat, kami akan membantu sedaya mampu kami demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Turut hadir dalam majlis penyampaian ini Penolong Pegawai Daerah, En Muhammad Faiz bin Abdul Latif, Penghulu-penghulu Mukim dan barisan AJK MPKK Kampung Sungai Tiram Lekir.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )