Kerajaan Perak pasang mesin AED bantu kes serangan jantung

Kerajaan Perak pasang mesin AED bantu kes serangan jantung

IPOH: Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan RM70,000 bagi pemasangan 10 unit mesin peranti defibrilator luaran automatik (AED) di sekitar bandar raya ini yang berfungsi membantu individu dalam kes serangan jantung secara mengejut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Howard Lee Chuan How berkata empat daripada 10 mesin itu telah dipasang sejak November lepas iaitu di Pusat Akuatik Tuanku Zara, Taman Dr Seenivasagam, Padang Ipoh dan Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz.

“Enam lagi mesin AED ini akan dipasang dalam masa sebulan atau dua bulan dari sekarang iaitu di Bukit Kledang, Dataran Majlis Bandaraya Ipoh, Bulatan Sultan Azlan Shah, Stesen Keretapi Ipoh, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh dan Gerbang Malam.

“Bagi saya, pemasangan mesin ini di kawasan awam amat penting kerana ia mampu menyediakan rawatan kepada orang awam yang tiba-tiba denyutan jantungnya terhenti atau menghadapi serangan jantung dan pengsan di kawasan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Projek AED Save-A-Life dan Latihan CPR-AED di Pusat Akuatik Tuanku Zara, di sini semalam.

Lee berkata pemasangan mesin AED itu juga dilihat sebagai satu perkara positif yang mampu memupuk kesedaran kepada masyarakat untuk mengetahui tentang kaedah atau cara pengendalian peranti tersebut secara khusus.

“Walaupun kerajaan boleh sumbangkan peruntukan untuk mesin ini tetapi yang paling penting adalah rakyat sendiri mesti belajar tentang AED ini. Tak guna kalau kita ada kemudahan begini tetapi rakyat tak mahu ambil tahu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata mesin AED berkenaan akan diperluaskan ke seluruh Perak jika kerajaan negeri mempunyai lebihan peruntukan untuk pemasangannya pada masa akan datang.

— BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )