Pagi beri hak milik tanah kepada rakyat, tengahari MB rasmi rumah mampu milik

Pagi beri hak milik tanah kepada rakyat, tengahari MB rasmi rumah mampu milik

BATU GAJAH: Kerajaan Negeri Perak terus bergiat aktif melaksanakan pelbagai insentif perumahan dalam memastikan rakyat di negeri ini mampu memiliki rumah.

Semalam, Menteri Besar Perak Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci kepada para pembeli Projek Perumahan RPT Bemban Highway Residen Pusing, di Taman Pusing Sakura, Pusing, Batu Gajah.

Menurutnya, projek tersebut adalah usahasama kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kinta dengan pihak pemaju Zamisma Sdn Bhd iaitu anak syarikat kumpulan JRD Group.

“Projek ini adalah bertepatan dengan usaha Kerajaan Negeri dalam membangun dan menyediakan perumahan selesa untuk rakyat negeri Perak, khususnya golongan B40.

“Dengan mengambil contoh Projek Perumahan RPT Bemban Highway Residence Pusing ini sebagai model, pemaju digalakkan untuk membina lebih banyak rumah dengan harga berpatutan di Negeri Perak.

“Apa yang penting akhirnya memberikan situasi menang-menang kepada pemaju, pembeli dan kepada Kerajaan Negeri,” katanya dalam majlis tersebut.

Adun Chenderiang itu menjelaskan, dalam masa yang sama Kerajaan Pakatan Harapan Perak juga katanya berusaha menyelesaikan masalah setinggan yang dihadapi oleh rakyat di negeri ini.

“Keputusan kerajaan terdahulu telah diperbaiki bersama pemaju di mana wijudnya pembinaan rumah bertaraf tinggi dengan harga yang rendah.

“Kerajaan juga meneruskan usaha untuk membuka RPT dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah perumahan bagi rakyat di negeri Perak,” katanya.

Sebelum itu dalam program berlainan, Ahmad Faizal telah menyerahkan notis hakmilik pajakan 99 tahun kepada 156 buah keluarga.

Pemberian tersebut sekali gus menamatkan penantian 32 keluarga dari Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Papan dan 124 keluarga dari RPT Bemban untuk memiliki tanah.

Ternyata kerajaan negeri berusaha membantu menyelesaikan hal berkaitan kediaman rakyat di negeri ini.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )