Kutipan hasil Perak meningkat kepada RM1.09 bilion di bawah kerajaan PH

Kutipan hasil Perak meningkat kepada RM1.09 bilion di bawah kerajaan PH

IPOH: Hasil kerja kuat semua pihak, pada tahun 2019 Kerajaan Negeri Perak telah berjaya mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM1.09 bilion atau 106.2 peratus berbanding sasaran 1.03 billion.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM63.9 juta iaitu lebih tinggi daripada kutipan 2018.

Menurutnya, antara penyumbang utama kepada peningkatan hasil kerajaan negeri adalah kejayaan Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Perak dan semua Pejabat Tanah.

Kata beliau, pencapaian tersebut sangat memberangsangkan dengan kutipan hasil tanah RM 688.7 atau 106.91 peratus berbanding sasaran RM644.2 juta pada tahun 2019.

“Kita bersyukur kerana pencapaian ini membolehkan kerajaan negeri menutup akaun berakhir Disember 2019 dengan jumlah surplus sebanyak RM52.33 juta, meningkat berbanding surplus sebanyak RM50.11 juta yang direkodkan pada tahun 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Executive Talk dan Amanat Tahun Baru 2020 Bersama Penjawat Awam Negeri Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, terdapat pihak mengatakan bahawa prestasi yang baik ini adalah disebabkan kerajaan telah mengurangkan perbelanjaan, terutama perbelanjaan pembangunan.

Ini katanya adalah andaian yang tidak berasas kerana rekod menunjukkan prestasi perbelanjaan mengurus dan emolumen mencapai tahap 96 peratus manakala perbelanjaan pembangunan adalah sebanyak 90 peratus.

“Bagi meneruskan momentum pembangunan negeri, sebanyak RM430 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek-projek pembangunan berbanding RM400 juta pada tahun 2019.

“Ini adalah jumlah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata bagi tempoh Januari hingga September 2019, jumlah pelaburan yang telah diluluskan oleh Malaysian Investment Development Authority (MIDA) untuk negeri Perak adalah RM4.8 bilion.

Ini katanya meletakkan Perak di tangga kelima penerima pelaburan tertinggi seluruh negara untuk tempoh sembilan bulan pertama 2019.

“Saya difahamkan jumlah projek pelaburan yang diluluskan pada tahun 2019 adalah yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

“Tahniah dan syabas kepada semua pihak yang telah bekerja keras bagi menarik pelabur ke negeri tercinta ini. In shaa Allah, untuk tahun 2020, prestasi pelaburan dijangka bertambah baik,” katanya lagi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )