Prestasi ekonomi Perak tahun 2019 berkembang 5.3 peratus

Prestasi ekonomi Perak tahun 2019 berkembang 5.3 peratus

IPOH: Data daripada Jabatan Perangkaan pada tahun 2018 menunjukkan penduduk negeri Perak yang berada dalam pasaran kerja menunjukkan peningkatan manakala bilangan tenaga buruh asing telah menurun.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, faktor penyumbang kepada kejayaan ini adalah kerana prestasi ekonomi negeri Perak telah berkembang sebanyak 5.3 peratus pada tahun 2018.

Angka ini kata beliau lebih tinggi daripada paras nasional iaitu 4.7 peratus.

Beliau mengucapkan jutaan tahniah dan terima kasih kepada semua penjawat awam yang memastikan perkembangan ekonomi pada kadar yang memuaskan.

“Walau bagaimanapun, jika diteliti data pada tahun 2018, kita akan mendapati sebahagian besar, iaitu 66.9 peratus daripada peratusan penduduk negeri ini bekerja sebagai tenaga separuh mahir manakala 22.9 peratus lagi berada dalam kategori pekerjaan berkemahiran rendah.

“Hanya 10.2 peratus daripada rakyat negeri ini berada dalam kategori pekerja mahir.

“Ini bermakna majoriti di kalangan tenaga kerja di negeri ini berada dalam kategori berpendapatan rendah dan sederhana, katanya.

Beliau berkata demikian berucap di program Executive Talk dan Amanat Tahun Baharu 2020 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh disini hari ini.

Hadir sama ialah barisan Exco Kerajaan Negeri Perak dan penjawat awam di semua sektor.

Seluruh barisan pimpinan Kerajaan Negeri Perak bergambar bersama seluruh penjawat awam di program tersebut.

Ahmad Faizal menjelaskan, cabaran yang perlu ditangani adalah bagaimana untuk memastikan struktur ekonomi negeri ini, didorong oleh teknologi dan produktiviti berbanding kebergantungan kepada faktor pengeluaran tradisional seperti modal serta tenaga buruh.

“Pentadbiran ini telah memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan asing dan domestik bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda dan graduan, serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing.

“Tumpuan juga diberikan kepada usaha menarik pelaburan berasaskan modal bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )