Perak beri tumpuan kepada inisiatif Kerajaan Digital, memudahkan urusan rakyat

Perak beri tumpuan kepada inisiatif Kerajaan Digital, memudahkan urusan rakyat

IPOH: Kerajaan Negeri Perak telah memberikan tumpuan kepada inisiatif Kerajaan Digital dalam memperkasa sistem penyampaian dan memudahkan akses rakyat kepada kerajaan.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Digital Perak Corporation Holdings telah mengorak langkah memperkenalkan sistem permohonan dana untuk badan-badan bukan kerajaan secara online.

Selain itu, katanya, Digital Perak juga telah membantu Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk membangunkan aplikasi Saringan Awal Pensijilan Halal.

“Saya memuji langkah Digital Perak dalam mendigitalkan proses dalam pentadbiran awam.

“Diharapkan Digital Perak memperbanyakkan lagi inisiatif digital bagi semua aliran kerja dalam pentadbiran awam,” katanya ketika Majlis Executive Talk dan Amanat Tahun Baru 2020 Bersama Penjawat Awam Negeri Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak turut memudahkan akses kepada rakyat dengan memperkenalkan sistem permohonan untuk Rumah Perakku secara online.

Ini katanya bermakna pemohon boleh mengisi borang dan memuatnaik borang mereka secara online.

“Inisiatif ini sekaligus memudahkan para pemohon yang tinggal di luar daripada Bandaraya Ipoh.

“Namun suka diingatkan respon kepada setiap permohonan hendaklah diutamakan dan jangan dibiarkan para pemohon ternanti-nanti akan sebarang jawapan,” katanya.

Selain itu, katanya, pengenalan sistem bayaran parking secara digital iaitu Park@Perak pula telah memudahkan urusan rakyat.
Katanya, bayaran parking boleh dibuat melalui telefon pintar dan tidak perlu lagi mencari kedai untuk membeli kupon.

“Dengan aplikasi ini juga, kita telah berjaya menyelaraskan kadar kutipan di semua Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT.

“Para pemandu juga tidak perlu lagi membeli kupon yang berbeza-beza di setiap PBT seperti sebelum ini,” jelasnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )